SEPANG – Kerajaan negeri Selangor merancang untuk menjadikan pertandingan memancing sebagai satu daripada aktiviti Tahun Melawat Selangor 2025, sekali gus mempromosikan agrotourism di negeri itu selari dengan pelan tindakan di bawah Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTa) iaitu Agro Pelancongan.
Hasrat itu diutarakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, YB Ir Izham Hashim, pada majlis penutup Pertandingan Memancing Terbuka Selangor, di Pantai Bagan Lalang di sini semalam.
“Sambutan pertandingan ini sangat menggalakkan. Kira-kira 800 peserta mengambil bahagian termasuk dari luar Selangor.
“Justeru, kerajaan negeri sedang merancang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai satu daripada acara Tahun Melawat Selangor 2025 dengan hadiah lebih lumayan,’’ katanya.
Pertandingan memancing itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM53,000. Juara pertandingan disandang Mohd Akmal Ridiwan yang menaikkan ikan gemang 1.235kg, sekaligus membawa pulang RM15,000. Bagaimanapun Mohd Akmal gagal membawa pulang tambahan RM2,000 yang ditawarkan penganjur kepada peserta yang bermastautin di negeri itu.
Tempat kedua disandang Rashidi Mohamad yang menaikkan ikan Daun Baru seberat 1.065kg sekaligus menerima RM4,000 dan tambahan RM1,000 sebagai warga Selangor.
Tempat ketiga disandang Suria Mat Sahar yang menaikkan Daun Baru 0.89kg sekaligus membawa pulang RM2,000 serta tambahan RM500 sebagai warga Selangor.
Hadiah disampaikan YB Ir Idzham di pekarangan PNK Resort Bagan Lalang, di sini. Turut hadir Adun Sungai Pelek, Lwi Kian Keong; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; dan Pengarah LKIM Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran.
Pada majlis itu, penganjur turut menyediakan 50 hadiah cabutan bertuah serta tiga cabutan bonanza televisyen 32 inci. Bagaimanapun, berikutan peserta yang tidak berganjak ketika acara sampai di penghujung, penganjur membuat keputusan menjadikan hadiah wang tunai yang tidak dimenangi bagi kategori Anak Selangor sebanyak RM2,600 sebagai cabutan bertuah. Pihak Wakjali Event juga menambah RM1,000 lagi sebagai cabutan bertuah kepada pemenang.
Lima daerah di Selangor mempunyai pantai yang sesuai bagi pertandingan memacing iaitu Pantai Bagan Lalang (Sepang), Pantai Kelanang (Kuala Langat), Tanjung Harapan (Klang), Pantai Remis (Kuala Selangor) dan Pantai Sungai Lang (Sabak Bernam). Empat lagi daerah mempunyai tasik yang turut sesuai bagi aktiviti memancing.