TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI MALAYSIA PERKEMBANGAN TERKINI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)

0
867

PUTRAJAYA, 20 JULAI 2020

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuhdan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat walafiat.
1.Sudah agak lama saya tidak muncul di hadapan saudara-saudari sekalian untuk
memberikan maklumat dan pesanan mengenai situasi terkini COVID-19 di negara kita.

2.Saya percaya sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP
dilaksanakan pada 10 Jun 2020, saudara-saudari telah dapat kembali menjalani
kehidupan hampir seperti biasa seperti keluar bekerja, berniaga, mengunjungi pusat-
pusat membeli-belah dan beriadah bersama keluarga.

3.Selepas larangan rentas negeri ditarik balik, saya perhatikan ramai yang
mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman dan bercuti di dalam
negara.

4.Saya sendiri pun pulang ke Muar bersama keluarga beberapa minggu yang lalu.
Sempat jugalah saya sekeluarga menikmati asam pedas Muar yang agak popular.
Sambil itu saya perhatikan ramai pelanggan mengunjungi restoran, pusat-pusat
membeli belah, pusat penjaja dan kedai-kedai. Keadaan ini amat berbeza sekali
berbanding ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

5.Saya juga diberitahu hotel-hotel dan tempat-tempat penginapan di seluruh
negara menerima banyak tempahan daripada para pengunjung. Ini kita fahamlah
kerana hampir tiga bulan berkurung di rumah, ramai dalam kalangan saudara-saudari
yang mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga. Lebuhraya utama di
negara kita juga kembalisesak dengan kenderaan terutamanya di hujung minggu.

6.Ini satu petanda yang baik. Sektor-sektor ekonomi di negara kita yang terjejas
akibat COVID-19 sudah mula rancak dan insyaAllah sekiranya trend ini berterusan,
ekonomi negara kita dapat pulih dengan lebih cepat.

7.Bantuan-bantuan kerajaan juga telah banyak yang disampaikan. Sehingga hari
ini sejumlah RM11.14 bilion telah disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan
Prihatin Nasional. 1.4 juta pemandu e-hailing telah menerima elaun tunai RM500
dengan jumlah keseluruhan RM34 juta. Seramai 477 ribu pemandu teksi, pemandu
pelancong dan pemandu bas telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah
keseluruhan RM28.8 juta. 7.7 juta pengguna menerima diskaun 50 peratus bayaran
bil elektrik TNB dengan nilai keseluruhan RM312.32 juta dan1.4 juta pengguna
menerima diskaun 15 peratus dengan nilai keseluruhan RM185.75 juta.65 peratus isi
rumah telah menerima manfaat morotarium bayaran balik pinjaman bank dengan nilai
keseluruhan RM38.4 bilion.

8.Dari segi bantuan untuk para usahawan, seramai 545 ribu usahawan mikro
telah menerima Geran Khas Prihatin dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion. 7 ribu
orang menerima kemudahan kredit mikro BSN dengan nilai keseluruhan RM247 juta
dan lebih 23 ribu orang menerima kemudahan kredit mikro TEKUN dengan nilai
keseluruhan RM177 juta.

9.Subsidi upah bernilai RM7.4 bilion juga telah disalurkan. Inisiatif ini telah
memberi manfaat kepada 834 ribu majikan dan 6.7 juta pekerja di seluruh negara.

10.Saya percaya ramai dari kalangan saudara dan saudari yang terjejas dengan
wabak COVID-19 telah sedikit sebanyak menerima manfaat daripada bantuan-
bantuan kerajaan. Bantuan-bantuan ini adalah bersifat sementara untuk membantu
saudara-saudari menjalani kehidupan dalam keadaan yang sukar. Yang lebih penting
ialah bagaimana kita semua dapat keluar daripada krisis dan memulihkan keadaan
kesihatan rakyat dan ekonomi negara kita dengan kadar yang segera.

Saudara-saudariyang saya kasihi sekalian,
11.Saya sentiasa memantau keadaan terkini pandemik COVID-19. Wabak ini
masih belum berakhir. Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19
yang tinggi. Sehingga semalam, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus COVID-
19 di seluruh dunia dengan lebih 600 ribu kematian dicatatkan.

12.Walaupun kes COVID-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang
dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh PKPP. Contohnya Kluster
Restoran Kuala Lumpur dalam kalangan pekerja restoran yang dilaporkan sejak 6 Julai
2020 dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai 2020.

13.Selain itu, sejak 7 Julai 2020, terdapat empat kluster baharu yang dikesan
berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara iaitu Kluster di Sarawak sebanyak
3 kes, Kluster di Melaka 5 kes, Kluster di Terengganu 3 kes dan Kluster di Kuala
Lumpur 2 kes.

14.Lebih membimbangkan saya, kes positif COVID-19 telah kembali mencatatkan
angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu.

15.Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti saudara-
saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lock downsekiranya kes-kes
COVID-19 meningkat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita
tidak perlu sampai ke tahap itu.

16.Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan
rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu
kembali hidup dalam kedaan lock down seperti itu.

17.Sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan
memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi
amat besar. Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara
kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung
menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.

18.Ia juga akan menidakkan usaha-usaha Kerajaan, sektor swasta dan NGO di
bawah Pakej PRIHATIN dan PENJANA yang bertujuan untuk memulih dan menjana
semula ekonomi. Harus diingat bahawa Kerajaan sudahpun mengumumkan pakej
rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan dan PENJANA yang
keseluruhannya berjumlah RM295 bilion untuk kesejahteraan rakyat dan
kelangsungan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini. Lebih 2.75 juta pekerjaan
telah berjaya diselamatkan di bawah program Subsidi Upah dan Program Pengekalan
Pekerja.

19.Selain itu, lebih 800 ribu perniagaan, termasuk perniagaan mikro dan PKS,
telah menerima manfaat daripada pakej-pakej rangsangan ini. Pakej-pakej PRIHATIN
dan PENJANA dianggarkan menyumbang lebih 3 peratus kepada pertumbuhan KDNK
negara pada tahun ini

20.Sekiranya PKP terpaksa dikuatkuasakan semula, antara impaknya termasuklah
unjuran pertumbuhan KDNK yang dijangka pada tahun 2021 mungkin tidak akan
tercapai. Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3
peratus bagi bulan Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu
keadaan yang mesti kita elakkan.

21.Jadi, apa yang mesti kita buat?

22.Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, kejayaan kita memerangi
COVID-19 dalam fasa pemulihan ini adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Ia
bergantung kepada kesedaran kita, sikap kita dan amalan kita.

23.Amalan kebiasaan baharu atau new normal mesti kita teruskan. Jangan kerana
kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di
tempat awam. Pakai lah. Jangan tak pakai.

24.Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurang-
kurangnya satu meter daripada orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa
beringat untuk elakkan sentuhan badan.

25.Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan.
Saya tengok sekarang sudah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk
ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara.

26.Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan. Tetapi jangan kita
lupa. Kita masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19. Jadi amalan-amalan ini
walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun ia amat tidak baik dari segi usaha
kita untuk melindungi diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita daripada dijangkiti
virus COVID-19.

27.Memandangkan kes-kes positif COVID-19 banyak berlaku dalam kalangan
mereka yang pulang atau tiba dari luar negara, Kementerian Kesihatan Malaysia terus
memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa negara. Antara langkah-
langkah yang diambil ialah melakukan saringan suhu badan dan gejala jangkitan
saluran pernafasan semasa ketibaan, menyemak keputusan saringan PCR COVID-19
yang dilakukan tiga hari sebelum pelawat berlepas ke Malaysia, merujuk kes yang
bergejala atau dikesan positif COVID-19 ke hospital, mengeluarkan Perintah
Pengawasan dan Pemerhatian di rumah di bawah seksyen 15(1) Akta Pencegahan
dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selama14 hari, memastikan setiap orang
yang tiba di Malaysia memuat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera,
mewajibkan mereka memakai gelang tangan dan memastikan mereka menjalani ujian
pengesanan COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah sebelum diberi pelepasan
pada hari ke-14.

28.Saya juga hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara
supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin. Duduk
di bilik yang berasingan daripada ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari
rumah sepanjang tempoh kuarantin. Anda juga mesti melakukan penilaian status
kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala,
maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera.
Sekiranya anda gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di
bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan
kesalahan.

29.Jika perlu,kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah
air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan
lebih berkesan. Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan
denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar
undang-undang dan peraturan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
30.Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka
di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan
yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.

31.Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap
individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli
keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat-
mengingati antara satu sama lain.

32.Ibu-bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak mereka supaya sentiasa memakai pelitup
muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial,
sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-
lain. Ingatkan mereka setiap hari. Tak mengapalah kalau dikata berleter pun kerana
ini amat penting. Ini kerana kita semua sayangkan keluarga kita.

33.Di tempat kerja, majikan mesti sentiasa ingatkan pekerja supaya patuhi SOP
yang ditetapkan. Sentiasalah pantau pekerja anda. Letakkan notis atau peringatan
mengenai SOP yang perlu dipatuhi di tempat yang mudah dilihat.

34.Di sekolah, pengetua, guru besar, guru-guru, pengawas dan ketua kelas perlu
memainkan peranan yang lebih proaktif. Ingatkan murid-murid dan rakan-rakan anda
supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan patuhi semua SOP yang telah
ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

35.Saya juga nak mengingatkan Ketua-Ketua Kampung, Imam-Imam dan Ketua
Komuniti supaya jaga komuniti masing-masing. Ketua Kampung bersama ahli-ahli
jawatankuasa kampung misalnya boleh buat lawatan atau rondaan ke tempat-tempat
yang sering dikunjungi oleh penduduk kampung masing-masing. Samada di kedai
kopi, restoran, pasar pagi atau kedai-kedai menjual barangan keperluan harian.
Nasihati mereka supaya memakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial.

36.Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam
memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kita akan dapat melalui fasa PKPP ini
dengan jayanya.

37.Kita baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan
disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan. Ekonomi negara kita
telah mula rancak kembali dan kita juga telah dapat menikmati semula kehidupan kita
dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

38.Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik
COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam
mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19.

39.Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman
bahagia.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here