PEKERJA HOTEL DIMINTA CUTI TANPA GAJI

0
1783
Oleh KHALID NOORSHAH
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Pekerja beberapa hotel diminta bercuti tanpa gaji untuk beberapa hari dalam sebulan sejak seawal Mei lalu sebagai langkah hotel bagi mengurus aliran tunai masing-masing, kata Kesatuan Pekerja–Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia (NUHBRW) hari ini.
Setiausaha Agungnya, Rusli Affandi berkata, dalam pertemuan dengan hotel-hotel tersebut, NUHBRW pada mulanya tidak bersetuju tetapi akhirnya akur kerana memikirkan masa depan pekerja khususnya ahli-ahli kesatuan dan pekerja hotel amnya.
“Sekiranya kesatuan tidak bersetuju kepada permintaan hotel-hotel berkenaan, ada kemungkinan hotel-hotel itu dikemudian hari nanti akan memulakan pembuangan pekerja atau berunding untuk melaksanakan cuti tanpa gaji atau berdepan dengan hotel ditutup,” katanya ketika dihubungi hubmedia.my

Menurut Rusli, hotel-hotel yang berunding dengan kesatuan itu ada yang bertaraf empat dan lima bintang. Ada yang memohon pekerja dibenarkan cuti tanpa gaji empat hari dalam sebulan bagi tiga bulan dan ada juga telah melaksanakan cuti tanpa gaji lapan hari dalam sebulan.

Setiausaha Agung NUHBRW, Rusli Affandi
“Sebuah lagi hotel telah meminta berunding dengan kesatuan mengenai hal yang sama dalam masa yang terdekat ini,” kata Rusli sambil menambah, alasan yang beri oleh kesemua hotel yang terlibat ialah bagi membolehkan mereka mengurus masalah aliran wang tunai yang mereka alami sekarang.
Rusli berkata, beliau difahamkan bahawa hotel-hotel yang terlibat telah membayar gaji penuh kepada para pekerja masing-masing sejak Mac lalu sehinggalah hari ini dengan tidak mengamalkan cuti tanpa gaji atau pemotongan gaji.
Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan pada 5 Jun lalu, majikan tidak dibenarkan membuang pekerja tetapi dibenarkan mengurangkan waktu bekerja ataupun pengurangan gaji selepas berunding dengan pekerja.
Penjana juga memperluaskan Program Subsidi Upah (PSU) sehingga September ini di mana setiap pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah setakat 200 orang sahaja akan menerima subsidi upah RM600 setiap pekerja sebulan.
Menurut Rusli, kesatuan difahamkan bahawa kesemua pekerja yang layak mendapat subsidi upah akan menerimanya dari majikan tetapi masalahnya ialah bagi hotel yang telah memohon tetapi ditolak dan ada juga kes di mana permohonan hotel telah diluluskan tetapi belum mendapat bayaran.
“Kalau tanpa subsidi upah, maka majikan lebih terdorong ke arah pembuangan pekerja tetapi kesatuan biasanya meminta dilaksanakan cuti tanpa gaji dahulu terutamanya untuk ahli kesatuan,” sambil menambah ada hotel mendakwa kos upah mencecah 200% yang bermaksud pembayaran untuk upah melebihi daripada peruntukan yang disediakan.
NUHRBW mempunyai lebih daripada 8,000 ahli dan mempunyai Perjanjian Bersama dengan 80 buah hotel bertaraf dua, tiga, empat dan lima bintang serta dengan rangkaian makanan segera A&W dan Kentucky Fried Chicken (KFC).

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here