KUALA LUMPUR, 5 Sept – Sukan permotoran memang tinggi risikonya.
Terjatuh, berlanggar, jentera rosak di pertengahan perlumbaan dan sebagainya, memang sudah menjadi sebahagian daripada ‘budaya’ atau perkara biasa dalam sukan permotoran khususnya yang beroda dua.
Bagi para pelumba, ia harus dihadapi malah mereka sudah bersedia menempuhinya sebelum membuat keputusan untuk menjadikan sukan tersebut sebagai karier.
Begitupun, sebelum bergelar pelumba, mereka akan didedahkan dengan latihan tentang cara-cara menghadapinya jika berlaku perlanggaran atau terjatuh ketika mengharungi perlumbaan.
Bila membicarakan mengenai insiden-insiden perlanggaran yang berlaku dalam sukan permotoran, ada satu cerita menarik yang wajar dikongsi agar ia boleh dijadikan motivasi buat generasi muda yang berhasrat mahu menjadi pelumba suatu hari nanti.
Ia dialami oleh seorang pelumba wanita yang berjiwa kental, berdikari dan tidak mudah luntur semangat.
Insiden berlaku pada Rabu lalu ketika berlangsungnya saingan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Sepang Utara.
‘Malang tidak berbau’ – ini yang dialami oleh pelumba baharu dalam kategori Pro Am, Nur Atikah Azwar.
Pelumba yang popular dengan channel You Tube – Rider Helmet Pink itu terlibat dalam perlanggaran ketika mengharungi ‘warm up’ lap untuk kategori Pro Am.
Dia tampil dengan tahap kelajuan yang maksimum sehingga tidak menyedari pelumba di hadapannya mengalami masalah mekanikal dengan jenteranya.
Selepas mengalami kerosakan, pelumba tersebut kembali memasuki garisan perlumbaan, namun jenteranya sekali lagi bermasalah.
Nur Atikah atau nama panggilannya Ika yang berada di belakang, tidak menyangka pelumba tersebut masih berdepan masalah dengan jenteranya.
Disebabkan kelajuan Ika ketika itu berada pada tahap maksimum, dia tidak sempat untuk mengelak dan terlanggar pelumba terbabit, Jarak antara mereka juga agak dekat dan ia menyukarkan Ika untuk ‘membrek’ secara mengejut.
Maka berlaku perlanggaran dan Ika terjatuh. Malang terus menimpa Ika kerana dua pelumba di belakangnya ketika itu, juga tidak sempat mengelak sehingga melanggar bahagian kepala dan tangan Rider Helmet Pink itu.
Seperti biasa, para pegawai perlumbaan bertindak cepat untuk memberi bantuan, namun Ika merasakan tangan kirinya tidak berfungsi seperti biasa.
Syukur, dia tidak mengalami kecederaan teruk, tetapi selepas menerima rawatan, tulang pada tangan kirinya retak.
Dia dirujuk ke Hospital Putrajaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Damansara.
Ketika berlakunya insiden tersebut, Ika tidak menunjukkan sebarang reaksi kecewa, dia tetap tenang, apa lagi menjerit untuk menahan kesakitan.
Dia tetap bergurau senda ketika diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan yang ditempatkan di litar tersebut.
Namun, ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, suara tangisannya mulai kedengaran kencang. Dia menangis bukan kerana menahan kesakitan, tetapi kecewa tidak dapat berlumba.
Dia kecewa kerana insiden tersebut akan meranapkan impiannya untuk terus beraksi pada Kejuaraan Cub Prix tahun ini.
Dia masih bersemangat untuk terus beraksi sehingga ke penutup musim tetapi atas nasihat pakar agar dia berehat sekurang-kurangnya tiga bulan, jiwanya hancur.
Tangisan kekecewaannya terus kencang kerana memikirkan impiannya untuk terus mewarnai saingan Cub Prix musim ini sudah musnah.
Memang jiwanya kental dan episod sedih itu ternyata tidak dapat mengubah pendiriannya untuk terus aktif dalam sukan dua roda itu.
Meskipun masih terbaring atas katil di Hospital Pakar Damansara, topik bicaranya tetap terarah kepada keinginan untuk kembali ke litar lumba.
Ternyata semangatnya masih membara dan belum mahu menyerah meskipun tempoh rehatnya seperti yang dinasihatkan oleh pakar mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Berita tersebut bukan suatu yang mengembirakannya, tetapi menambah kekecewaan.
Ika adalah antara dua pelumba wanita yang mewarnai kategori Pro Am pada Kejuaraan Cub Prix musim ini. Seorang lagi adalah Nuraina Halisya Hamirudin.
Pada aksi di Sepang itu, Ika telah meletakkan sasaran untuk berada dalam kedudukan 10 terbaik selepas mendapati prestasi jentera Yamaha Legenda yang ditunggangnya semakin menunjukkan kestabilan.
Selepas menjalani pembedahan malam tadi bagi membetulkan tulang pada tangan kirinya itu, Ika kini berada dalam keadaan yang stabil dan dia bakal dibenarkan pulang pada Ahad ini.
Bagi pihak komuniti sukan dua roda, semua mendoakan agar Ika segera pulih.
Yang pasti dia berjiwa kental.
Dia menangis bukan kerana menahan kesakitan, tetapi kecewa gara-gara tidak dapat kembali ke gelanggang perlumbaan.