10 TERBAIK SUDAH CUKUP BAGUS BUAT TOBAKI PINK RACING

0
1457

SEPANG, 26 Feb – Tobaki `Pink Racing yang mengambil alih pengurusan pasukan Tobaki Cilik Racing pada saingan Cub Prix Malaysia musim ini, membuat permulaan yang agak baik meskipun mereka baharu membuat penampilan bagi kategori CP150.

Penyudah 10 terbaik sudah cukup bermakna buat pasukan tersebut yang turut beraksi dalam kategori CP125 atas nama Tobaki Pink Racing.

Meskipun berada dalam situasi yang tidak menentu gara-gara ‘permainan politik sukan’ dalam kalangan individu tertentu disekeliling pasukan tersebut sebelum bermulanya saingan Cub Prix bagi edisi ke-30 tahun ini, namun ia bukan halangan buat pemiliknya Nur Atikah Azwar, malah ia memberi keyakinan baharu buat mereka, sekali gus membuktikan sesuatu yang luar biasa musim ini.

Ketika ramai yang menyebarkan ‘racun’ agar pasukan Pink Racing ‘tutup kedai’ dan melupakan aksi di Cub Prix, tetapi percubaan tersebut masih belum cukup kuat untuk membunuh semangat pemiliknya, sebaliknya dijadikan sebagai cabaran baharu dalam misi mereka untuk kekal sebagai pasukan yang  lebih berdaya saing.

Hari ini, meskipun tampil selaku pendatang baharu dalam kategori CP150, namun pelumba yang menjadi sandaran Tobaki Cilik Racing, Md Afizi Supaat berjaya menghadiahkan 6 mata buat pasukan selepas menamatkan perlumbaan 11 lap itu di kedudukan ke-10.

Pelumba asal Selangor itu mencatatkan masa 14:35.129 saat pada perlumbaan yang dimenangi Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team yang merekodkan catatan masa 14:33.768s.

Seorang lagi pelumba Tobaki Cilik Racing yang bersaing dalam kategori tersebut, Md Harith Farhan Baharin gagal menamatkan perlumbaan. Ini merupakan penampilan pertama Harith dalam kelas perdana itu selepas dua tahun beraksi dalam kategori CP125 sebelum ini.

“Meskipun baharu berjinak dalam kelas perdana ini, tetapi pencapaian untuk berada dalam kelompok 10 terbaik sudah cukup bagus buat pasukan.

“Bukan mudah untuk bersaingan dalam CP150 lebih-lebih lagi barisan pelumba yang dipertaruhkan semuanya masih kekurangan pengalaman, tetapi selepas melihat kesungguhan mereka, saya anggap pencapaian ini sebagai permulaan yang baik.

“Kejayaan mengutip mata buat pasukan kerdil seperti kami sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan dan ini akan menjadikan kami lebih bersemangat untuk menghadapi perlumbaan-perlumbaan seterusnya selepas ini.

Saya juga berharap agar para pelumba memberi komitmen seratus peratus kepada pasukan selepas ini dan jangan mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak yang cuba untuk menjatuhkan maruah pasukan,” jelas Nur Atikah.

Sementara itu, dalam saingan kelas CP125 Tobaki Pink Racing turut meraih mata menerusi pelumba baharunya Md Arfyq Hillman.

Arfyq yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 dengan catatan masa 11:40.408s berjaya menghadiahkan tiga mata buat pasukannya.

Rakan sepasukannya, Md Qhuwarismi Md Nasir pula sekadar mencecah garis penamat di kedudukan ke-16 dengan catatan masa 11:40.673s.

Musim ini Tobaki Pink Racing dibarisi beberapa muka baharu termasuk pelumba dan juga kru teknikal.

Ekoran persediaan mereka yang agak terganggu sebelum bermulanya saingan bagi musim 2023 ini, Tobaki Pink Racing tidak meletakkan sasaran tertentu, namun tetap berharap agar perjalanan mereka mengharungi perlumbaan tahun ini berjalan dengan lancar.

Selepas ini, destinasi Pusingan 2 Cub Prix Malaysia adalah Jempol Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 11-12 Mac nanti.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here