HASRAT HARITH FARHAN BERAKSI DI PENTAS ASIA TERKABUL

0
961

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Dia sudah lama mengintai peluang untuk beraksi di pentas Asia, hasrat tersebut kini tercapai juga.

Walaupun tidak bersaing dalam kategori utama, tetapi ia sudah memadai buat pelumba kelahiran Terengganu, Mohd Harith Farhan Baharin yang sedang menempa nama dalam kejuaraan motosikal tempatan.

Minggu ini, Harith akan membuat penampilan pertama di pentas Asia. Dia akan beraksi dalam kategori ‘TVS One-Make Race’.

Perlumbaan ini diperkenalkan sebagai perlumbaan sokongan pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2022 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 27-29 Mei ini.

Para pelumba kategori ini akan menggunakan jentera keluaran India – TVS yang berkapisiti 310cc.

Barisan pelumba yang layak untuk menyertai TVS One-Make Race ini perlu melalui sesi pemilihan terlebih dahulu dan Harith antara beberapa orang pelumba dari Malaysia yang berjaya melepasi pemilihan itu baru-baru ini.

Pelumba lain termasuk dari Jepun, Thailand, Indonesia, Australia, India, Singapura dan juga Filipina.

Daripada sesi pemilihan yang telah dijalankan sebelum ini, hanya 16 yang dipilih dan Harith agak bertuah kerana berada dalam senarai akhir itu.

Sejak memulakan kariernya dalam sukan permotoran, Harith sentiasa mengintai peluang untuk tampil di pentas Asia, namun impannya itu belum tercapai kerana dia perlu membuktikan bahawa dia mampu menyaingi kehebatan ‘senior-seniornya’ dalam sukan yang sangat mencabar ini.

Hasrat tersebut dipendam dan dia terus bekerja keras bagi membuktikan bahawa dia layak berada di pentas Asia suatu hari nanti.

Nama Harith mula mendapat perhatian apabila dia membuat keputusan untuk menyertai pasukan baharu, Pink Racing  (kini dikenali sebagai Tobaki Pink Racing) pada musim 2021 lalu.

Pada penampilan pertamanya dengan pasukan tersebut dia berhasil membuktikan kemampuannya apabila berjaya menjejak kaki di podium kemenangan sebanyak tiga kali.

Ia dilihat permulaan terhadap kebangkitannya selepas agak tenggelam ketika beraksi dengan pasukan lain sebelum itu.

Tiga penamat podium yang dihasilkannya pada musim 2021 bersama Pink Racing sudah cukup untuk membuktikan bahawa dia memiliki potensi yang yang besar dalam sukan permotoran.

Walaupun jentera yang mereka gunakan untuk mengharungi saingan pada musim 2021 di kejuaraan Cub Prix Malaysia serba kekurangan, namun ia tidak menghalang Harith untuk melakukan penyudah podium.

Ekoran prestasi luar biasa yang dipamerkannya di Cub Prix, namanya mula menjadi perhatian para peminat sukan permotoran tempatan.

Tahun ini, dia terus membuktikan auranya dan sekali lagi merekodkan penyudah podium pada saingan Pusingan 2 Cub Prix Malaysia di Litar Lumba Tangkak dua minggu lalu.

Minggu ini, impiannya untuk tampil di pentas Asia sudah menjadi kenyataan.

Ini merupakan peluang terbaik buat Harith membuktikan kemampuannya meskipun tidak beraksi dalam kategori utama ARRC.

Ia mungkin langkah pertama buatnya sebelum melangkah lebih jauh dalam perlumbaan di pentas Asia ini yang sememangnya menjadi impian semua pelumba.

“Saya memang sudah lama bercita-cita untuk beraksi di pentas Asia, tetapi rezeki masih belum memihak kepada saya.

“Alhamdulillah, tahun ini hasrat yang sudah lama dipendam sudah tiba dan saya akan mempergunakan peluang seperti ini sebaik mungkin. Saya berharap peluang beraksi dalam perlumbaan ‘One-Make Race’ ini akan membuka ruang kepada saya untuk bersaing dalam kategori utama pada peringkat ARRC suatu hari nanti,” jelas Harith.

Ditanya mengenai sasarannya pada perlumbaan hujung minggu ini, Harith menjelaskan: “Saya hanya mahu melakukan yang terbaik. Paling utama adalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan jentera memandangkan semua pelumba belum biasa mengendalikan jentera TVS ini.”

Menurutnya, jika berjaya menamatkan perlumbaan, ia sudah boleh dianggap satu kejayaan kerana bukan mudah untuk menyesuaikan diri dengan jentera yang belum pernah ditunggang sebelum ini.

“Kita harus memahami dengan baik fungsi komponen-komponen yang ada pada jentera dan ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri terutama cara-cara mengendalikannya,” jelasnya.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here