Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, mendapati kira-kira 34.7 peratus remaja berusia 16 sehingga 19 tahun menghadapi masalah mental, manakala berumur 20 sehingga 24 tahun (32.1 peratus).
Presiden dan Pengasas Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar, berkata remaja lebih cenderung mengalami gangguan mental dan sekiranya tidak dibendung boleh melarat dan menjadi penyakit serius.
Katanya, kelewatan mengesan masalah itu akan mengakibatkan kos lebih tinggi kerana turut membabitkan penurunan produktiviti sama ada di tempat kerja, universiti dan sekolah.
“Justeru, kita berharap kerajaan menyediakan lebih peruntukan bagi meluaskan liputan ujian saringan kesihatan mental pada usia lebih muda, iaitu 16 hingga 39 tahun,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan akan memperluas liputan buat mereka berusia 40 tahun ke atas supaya lebih ramai yang ada masalah mental dibantu pada peringkat awal.
Sebelum ini, saringan kesihatan mental itu hanya dalam kalangan rakyat yang berusia 50 hingga 60 tahun dan hanya difokuskan kepada penyakit dementia dan Alzheimer.
Di bawah skim Peduli Kesihatan (Peka40), ketika ini menyediakan perkhidmatan ujian saringan kesihatan mental yang membolehkan pesakit ke klinik swasta berdaftar di bawah skim itu.
“Persoalannya adakah peruntukkan diberikan kepada hospital untuk menambah kakitangan, pakar psikologi dan psikiatri bagi menampung peningkatan mereka yang perlu dibantu.
“Bilangan pakar yang amat rendah tidak sejajar dengan apa yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang nisbah psikiatri adalah satu untuk 10,000 pesakit,” katanya.
Jumlah pakar yang rendah ini juga akan menyebabkan sukar untuk mendapatkan janji temu di hospital kerajaan berikutan bilangan mereka yang pergi ke hospital sudah tidak dapat ditampung.
Rakyat pula perlu menunggu lama untuk mendapat janji temu dengan pakar psikiatri dan psikologi di hospital kerajaan.
Apa yang membimbangkan, menerusi skim itu, hanya diberikan servis percuma sekali dan ini tidak cukup, terutama mereka yang mengalami tekanan tinggi dalam kehidupan, wanita lepas bersalin, sukarelawan bencana alam dan penguat kuasa undang-undang.
“Di bawah skim perlindungan nasional MySalam pula, belum ada peruntukan mereka mengalami penyakit mental yang masih belum diklasifikasikan sebagai penyakit kritikal di Malaysia.
“Seperti yang kita maklum, sebanyak 32 peratus rakyat dalam kategori B40 mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD),” katanya.
Katanya, tidak ada peruntukan untuk menaik taraf 22 Pusat Mental dan Psikiatri (Mentari) di seluruh negara walaupun sesetengah pusat ini sangat kecil dan tiada penambahbaikan dari segi infrastruktur dan kakitangan terhad.
Mentari masih belum mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang diharapkan sebagai salah satu perkhidmatan kesihatan mental untuk masyarakat.
Hanya ada beberapa Mentari yang berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.
Katanya, peruntukan yang agak besar untuk menaik taraf hospital, iaitu RM1.6 bilion, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, tetapi malangnya ia tidak menyenaraikan sama ada ia termasuk untuk wad psikiatri.
Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/wanita/keluarga/2019/10/620330/saring-tahap-kesihatan-mental-remaja.