Seni batik simbolik peradaban masyarakat setempat

0
1935
KUALA LUMPUR: Pameran Seni Lukisan Batik: Pameran dan Tribut, menghimpunkan sembilan pelukis batik terkemuka tempatan dalam usaha memartabatkan seni berkenaan di negara ini untuk dihayati bersama.

Sembilan pelukis menjayakan himpunan berkenaan iaitu Abdul Rahman Abdul Rani, Ahmad Tajuddin Ahmad, Fauziah Yahaya, Amir Arshad, Hishamuddin Ahmad, Azhar Arshad, Siti Hasmah Datuk Taiban, Ahmad Fauzi Arshad dan Mohamed Abdullah.

Pameran anjuran syarikat perbankan dan kewangan terkemuka Maybank, mengetengahkan 43 lukisan bermula pada hari ini sehingga 6 Disember. Dibuka untuk paparan umum setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang manakala Sabtu bermula pada jam 11 pagi hingga 4 petang, masuk percuma.

Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, berkata program buat julung kalinya diadakan itu berlangsung di Balai Seni Maybank yang dibuka sejak 1988.

Beliau berkata, pameran bukan sekadar lukisan tetapi dedikasi kepada pengasas teknik lukisan batik Malaysia, Allahyarham Wan Nong Abdul Rahman oleh sembilan pewarisnya dalam lukisan seni batik.

“Kami sentiasa menyokong usaha memartabatkan seni batik dan sebahagian inisiatif Yayasan Maybank menyokong industri batik negara,” katanya pada sidang media di Balai Seni Maybank, di sini, hari ini.

Yayasan Maybank sebelum ini sudah menganjurkan pameran seni membabitkan pelbagai karya seperti pameran karya pelukis wanita dan ilham seni menggunakan warna air.

“Tahun ini, enam daripada tujuh pameran diadakan termasuk di luar negara seperti Singapura Ogos lalu. Sebagai galakan, yayasan merancang membawa penggiat seni batik ke negara luar tahun depan. Usaha bertujuan meningkatkan pengetahuan dan pengalaman mereka untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.

Pelukis batik, Siti Hasmah Datuk Taiban (kanan) menerangkan lukisan batiknya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin semasa lawatan beliau ke pameran ‘Painting Batik’ di Balai Seni Menara Maybank. – Foto Mustaffa Kamal

Shahril Azuar berkata, usaha memartabatkan bidang seni adalah antara tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam mengekalkan seni dan budaya masyarakat setempat.

Sementara itu, Siti Hasmah berkata, beliau melihat batik sebagai medium paling dekat dengan nilai kreativiti penggiat seni tempatan.

“Kebanyakan karya mengangkat nilai kewanitaan diterjemahkan secara simbolik dalam bentuk lukisan. Batik banyak digunakan pada era 60-an oleh wanita sebagai busana dan penutup kepala. Pakaian ini melambangkan kehidupan yang penuh adat dan tradisi perlu diwarisi generasi seterusnya.

“Seni batik memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan lukisan “Being in Women”. Lukisan bertemakan bunga Kenanga ungu. Tema memaparkan keindahan wanita dan kekuatan mereka dalam mengemudi kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan lukisan ini menerusi pelbagai teknik. Banyak menggunakan motif bunga kerana melambangkan dirinya sebagai wanita dan pada masa sama sarat mesej kepada insan lain.

Rona pilihan memperlihatkan ciri wanita bersifat ceria dan sentuhan jiwa kepada nilai dengan penuh kasih sayang, Lukisan sebahagian daripada terapi diri dan hamparan jiwa yang memberi ketenangan.

“Sejak 40 tahun aktif dalam bidang ini, saya tidak pernah menjual hasil seni, hanya menderma kepada mereka memerlukan secara lelongan awam,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Abdullah, berkata menerusi pameran sedemikian beliau mengharapkan lebih ramai mengenali perintis lukisan batik negara, Wan Nong yang banyak menyumbang kepada seni berkenaan selain terkenal dalam kalangan insan seni di luar negara seperti Indonesia.

“Wan Nong belajar di United Kingdom sekitar tahun 1970-an, membawa balik kemahiran untuk diajar kepada karyawan di negara ini.

“Teknik batik lukisan ini sebenarnya bermula di Selangor sebelum dibawa ke Terengganu dan Kelantan. Kebijaksanaan Wan Nong apabila beliau bertukar kepakaran bersama karyawan dari Jepun dan Indonesia serta mempelbagaikan teknik lukisan batik untuk dimanfaatkan ribuan pengkarya,” katanya.

Beliau melihat pameran seni ini sebagai usaha mengenang jasa Wan Nong dalam arena seni. Diharapkan ada satu pertubuhan diwujudkan bagi memantau sejarah batik untuk dihayati generasi muda. Bagi yang berminat hasil karya itu turut dijual dan harga jualan antara RM 1,500 hingga RM20,000.

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2019/11/630848/seni-batik-simbolik-peradaban-masyarakat-setempat.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here