AFIF: SAYA RINDU NAK BERLUMBA

0
983

5 SOALAN BERSAMA PELUMBA CUB PRIX

 “SEJUJURNYA, saya memang sudah rindu nak race di Cub Prix dan tidak sabar untuk kembali mengharungi perlumbaan”.

Itu pangakuan pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran ketika dihubungi  di rumahnya di Subang semalam.

Afif kini terus sabar menempuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ketika negara sedang dilanda penularan wabak Covid19 pada masa ini.

Dalam kesabaran itu, kerinduannya untuk kembali berada di litar lumba tidak boleh disembunyikan lagi, lebih-lebih lagi selepas dia muncul juara keseluruhan kelas CP150 pada musim lalu.

Pelumba asal Kemaman, Terengganu ini turut menanam tekad yang sama pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini, namun hajat tersebut terpaksa ditangguhkan terlebih dulu gara-gara Covid19.

Walaupun terpaksa ‘berkurung’ di rumah sepanjang PKP ini, tetapi pelumba pasukan CKJ Racing itu tetap melakukan latihan sendiri bagi memastikan tahap kecergasannya kekal mantap.

Dia turut menjalani latihan sendiri selama satu jam setiap hari di halaman rumahnya sambil mengutamakan aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Rutin hariannya cukup menarik kerana masanya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kariernya.

Ikuti perbualan ringkas dengan Afif semalam berkenaan aktiviti hariannya sepanjang PKP ketika ini.

Soalan: Apa yang Afif selalu lakukan selepas bangun tidur?

AFIF: Pertama sekali selepas bangun, saya menunaikan solat subuh terlebih dahulu. Selepas itu berehat seketika sebelum sarapan pagi. Saya juga cuci baju sendiri pada sebelah pagi dan kemas-kemas rumah.

Ada melakukan sebarang latihan sepanjang PKP dan di mana?

Latihan itu sudah pasti dan ia adalah antara rutin harian saya. Saya lebih menumpukan terhadap aspek kecergasan. Setiap hari saya menghabiskan masa satu jam untuk melakukan latihan fitness dan ia dilakukan di tempat letak kereta di hadapan rumah saya.

Ada tak rebiu balik perlumbaan-perlumbaan yang Afif lalui sebelum ini dan berapa lama masa digunakan untuk menonton?

Selepas melakukan latihan ringan saya akan berehat seketika dan selepas itu meluangkan masa sekitar satu jam untuk menonton semula perlumbaan-perlumbaan yang saya tempuhi sepanjang tahun lalu. Saya menonton menerusi You Tube. Ini penting kerana daripada situ kita dapat menilai kelemahan mahu pun kelebihan ketika mengharugi perlumbaan. Daripada situ juga kita dapat belajar untuk memperkemaskan lagi prestasi.

Selain itu, apa lagi aktiviti yang dilakukan sepanjang PKP ini?

Aktiviti lain yang saya lakukan adalah mencuci motosikal saya. Malah, hampir setiap hari saya cuci motosikal dan pantang tengok ia berdebu sikit. Kadang-kadang saya baiki motosikal dan buat apa yang patut agar ia kekal berada dalam keadaan terbaik.

Adakah Afif sudah tidak sabar untuk kembali beraksi?

Sejujurnya, saya memang sudah tak sabar malah amat rindu untuk kembali beraksi di Cub Prix. Begitupun, kita perlu bersabar dan berharap Cub Prix dapat dilangsungkan seperti biasa selepas berakhirnya PKP nanti.

Apa nasihat kepada peminat Afif?

Saya berharap agar semua peminat Cub Prix di luar sana tabah dan patuh dengan arahan kerajaan dalam usaha kita membasmi wabak Covid19. Saya nasihatkan agar semua pihak mematuhi arahan kerajaan untuk ‘Stay At Home’ dan ‘Stay Healthy’.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here