ALIFF UTAMAKAN KECERGASAN FIZIKAL

0
565

Dairi pelumba

KUALA LUMPUR, 9 April – Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Aliff Danial Md Asri antara permata baharu dalam sukan permotoran negara.

Mula berjinak dengan sukan permotoran seawal usia 9 tahun lagi, pelumba asal Tangkak, Johor ini sudah memperlihatkan kehebatannya apabila melakar detik manis dalam kariernya musim lalu.

Dia bergelar juara keseluruhan kelas Wira pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PTRONAS 2019, dan ia satu pencapaian di luar jangkaannya.

Ketika itu Aliff menggalas cabaran pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing.

“Ia detik paling bermakna dalam karier saya.Sesungguhnya, saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan yang telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik buat saya sepanjang musim lalu.

“Kejayaan itu juga telah memberi keyakinan kepada saya untuk terus memantapkan lagi prestasi pada musim 2020 nanti,” jelas Aliff.

Tahun ini, Aliff bakal beraksi dengan pasukan baharu iaitu PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dan dia akan beraksi dalam kategori baharu iaitu CP125.

Walaupun dia belum terbiasa dengan kategori baharu itu, tetapi dia bertekad untuk melakukan yang terbaik.

“Saya masih dalam proses menyesuaikan diri dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar,” jelas Aliff.

Ditanya berkenaan aktiviti hariannya sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, Aliff menjelaskan bahawa masanya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuk melakukan latihan sendiri di rumah.

“Saya tak boleh duduk diam. Rutin harian sudah pastinya melakukan latihan fizikal. Setiap hari saya buat fitness di rumah sahaja.

“Saya perlu memastikan tahap kecergasan saya sentiasa berada dalam keadaan terbaik termasuk kekuatan mental. Walaupun saya tak pasti lagi bila Cub Prix akan bermula, tetapi saya perlu melakukan segala persediaan agar sentiasa kekal cergas,” jelas Aliff ketika dihubungi semalam.

Dia menghabiskan masa dua jam menjalani latihan fizikal setiap hari iaitu sejam pada sebelah pagi dan sejam lagi pada sebelah petang.

Dia juga mengakui saingan musim baharu nanti pasti sukar kerana semua pelumba masih belum dapat menyesuaikan diri dengan kelas baharu, CP125.

Selain itu, dia turut meluangkan masa untuk menonton perlumbaan-perlumbaan yang dilaluinya sebelum ini menerusi channel You Tube.

“Selain menonton aksi sendiri, saya juga menonton aksi pelumba-pelumba hebat dunia dan daripada situ mungkin dapat menimba ilmu dalam usaha untuk memantapkan lagi gaya tunggangan,” jelas Aliff yang sudah tidak sabar untuk kembali beraksi.

Berikut dairi harian Aliff sepanjang PKP yang mula berkuat kuasa 18 Mac lalu:

Pagi (selepas bangun):

  • Berserapan
  • Latihan fizikal selama satu jam
  • Buat aktiviti angkat berat, skipping dan push-up

 Tengah hari:

  • Berehat seketika
  • Menonton video perlumbaan-perlumbaan musim lalu menerusi You Tube

Petang:

  • Meneruskan latihan sendiri selama satu jam
  • Angkat berat, push-up dan skipping

Malam:

  • Berehat menonton televisyen
  • Pukul 10 malam tidur

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here