BERMULANYA MISI MEMPERKASAKAN BOLA SEPAK SARAWAK

0
774

KUALA LUMPUR, 7 April – ‘Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika baik cara mengolahnya, baik jugalah hasil yang akan dinikmati nanti’.

Dua pepatah melayu lama itu amat sesuai buat Persatuan Bola Sepak Sarawak ke arah merealisasikan impian untuk memperkasakan sukan bola sepak di negeri yang terkenal dengan jolokan Bumi Kenyalang itu.

Tiada istilah terlambat untuk melakukan sesuatu yang baik dan apa yang diperlukan adalah kesabaran serta terus konsisten sehingga ia membuahkan hasil positif.

Langkah pertama sudah pastinya mendidik tenaga kejurulatihan dengan segala ilmu yang berkaitan dengan bola sepak agar mereka lebih berpegetahuan apabila memulakan tugas mencari bakat yang akan dilentur menjadi seorang pemain berwibawa suatu hari nanti.

Keduanya, usaha-usaha murni seperti ini harus dijadikan sebagai projek yang berterusan tanpa mengira siapa yang akan menjadi peneraju Persatuan Bola Sepak Sarawak pada masa akan datang.

Jika ia sekadar projek ‘bermusim’, elok jangan membuang masa untuk melaksanakannya kerana hasilnya nanti tidak akan dapat dinikmati.

Sebagai permulaan, Persatuan Bola Sepak Bahagian Miri (PBBM) dengan kerjasama Sarawak United FC (SUFC) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan menganjurkan sesi Taklimat dan Praktikal Gaya Bola Sepak Sarawak (Briefing & Practical Sarawak’ s Way) pada 10 hingga 12 April ini.

Tanpa mengira latar belakang, inilah antara barisan yang akan menjadi tonggak untuk membantu memperkasakan bola sepak Sarawak suatu hari nanti. – gambar hiasan

Sesi selama tiga hari yang akan berlangsung di Stadium Miri itu, dikendalikan oleh Pengarah Teknikal SUFC, B, Satianathan sambil dibantu beberapa jurulatih berpengalaman seperti Jalil Ramli, David Usop, Awangko Shahbuddin dan Pengiran Bala.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak, Mohd. Saif Jubaidi memberitahu, program yang julung kalinya dianjurkan itu hanya menyediakan kuota kepada 25 peserta sahaja dan keutamaan adalah kepada para jurulatih yang memiliki lesen B, C, D dan Pra C.

“Tiada sebarang yuran dikenakan kepada para peserta yang akan menyertai sesi taklimat itu nanti,” jelas Mohd. Saif.

Menurutnya lagi, program ini akan terus diperhebatkan dan bakal dilaksanakan di zon tengah seta selatan dalam masa terdekat.

Mereka perlu dilengkapkan dengan segala ilmu berkaitan sukan bola sepak bagi memudahkan kerja-kerja menggilap bakat baharu. – gambar hiasan

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here