BULLDOG KUAN, LEGENDA SUKAN PERMOTORAN NEGARA

0
1764

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Perjalanannya dalam sukan permotoran tidak semudah yang dijangkakan.

Lahir daripada keluarga yang serba kekurangan, ia tidak pernah melunturkan minatnya untuk menceburkan diri dalam sukan permotoran.

Keinginannya untuk mendapatkan sebuah motosikal sendiri terlalu menebal tetapi kekangan kewangan yang dihadapinya ketika itu, dia gagal merealisasikan impian tersebut.

 

Namun, dia tetap tidak putus asa malah terus melangkah ke hadapan dan akhirnya membuat keputusan menyertai pasukan polis.

Dia berpendapat bahawa itu satu-satunya jalan terbaik bagi membolehkannya menunggang motosikal.

Impiannya adalah untuk menjadi anggota ‘outrider’ dalam pasukan polis, tetapi harapannya sekali lagi musnah.

Majikannya berpendapat bahawa dia layak ditugaskan sebagai seorang mekanik kerana kecekapannya dalam bidang tersebut.

Kerana kecewa, dia membuat keputusan berhenti sebagai anggota polis dan bekerja sebagai mekanik sehinggalah dia menghembus nafas terakhirnya awal tahun ini.

Itu serba sedikit perjalan karier Kuan Huah Chin atau lebih dikenali sebagai Bulldog Kuan.

Siapa yang tidak mengenalinya –  dia adalah legenda sukan permotoran.

Memulakan karier perlumbaannya sejak tahun 1960an lagi, kehebatannya memang sukar digugat dalam setiap perlumbaan tempatan yang diharunginya.

Tiada siapa yang mampu menyainginya dalam kejuaraan motosikal tempaan yang ketika itu dianjurkan dalam keadaan yang serba sederhana kerana tidak memiliki kemudahan secanggih sekarang.

Kenapa dia dianggap sebagai Bulldog Kuan?

Ini kerana dia merupakan satu-satunya pelumba terhebat negara selain kemahirannya mengharungi litar jalanan yang sangat mencabar ketika itu meskipun ciri-ciri keselamatan amat jauh berbeza berbanding sekarang.

Keunggulannya sangat terserlah dan dia bersama rakan baiknya, Oh Kah Beng terus gagah menguasai perlumbaan tempatan sehinggalah ke tahun 1980an.

Malah, dia merupakan satu-satunya pelumba negara yang pernah beraksi dalam saingan MotoGP di awal kariernya sebagai pelumba.

Kerana cintakan sukan permotoran, Bulldog Kuan tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai beberapa kejuaraan di rantau Asia, malah dia sering berlumba di Singapura dan juga Indonesia.

Atas kejayaan yang dicapainya di pentas Asia, namanya semakin popular dalam kalangan pencinta sukan tersebut di rantau ini.

Lebih menarik, minatnya bukan sahaja berlumba tetapi turut memainkan peranan yang besar untuk mengembangkan sukan permotoran di negara ini.

Dia antara orang penting disebalik penganjuran Penang Grand Prix, satu-satunya kejuaraan antarabangsa di Pulau Pinang pada tahun 1969.

Matlamatnya adalah untuk mengembangkan sukan dua roda itu agar terus diminati oleh generasi muda.

Dia juga memainkan peranan sebagai presiden Penang Motor Sports Club yang telah menjadi penganjur kejuaraan Cub Prix Malaysia – satu-satunya kejuaraan yang masih kekal utuh sehingga ke hari ini.

Selepas persaraannya, dia tetap mendekatkan diri dengan sukan permotoran untuk memainkan peranan sebagai Clerk-of-Course (COC) selain menguruskan kedai motosikalnya di Georgetown – Bulldog Kuan Motor.

Kehebatannya dalam sukan permotoran tidak terhenti begitu sahaja, malah segala ilmu yang ada padanya diturunkan kepada anaknya, Kuan Meng Heng.

Seorang lagi anaknya, mendiang Kuan Meng Chin juga pernah beraksi dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Kini, segala pengorbanan, sumbangan mahupun kejayaan yang telah dicapai oleh Bulldog Kuan dalam sukan permotoran akan tetap menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan.

Dia adalah legenda.

Pada usia 87 tahun, Bulldog Kuan menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di York Road George Town, Pulau Pinang pada 20 Mac 2020.

PROFIL:

Nama: Kuan Huah Chin aka Bulldog Kuan

Tarikh lahir: 15 Februari 1933

Tempat lahir: George Town Pulau Pinang

Pendidikan: Penang Free School

Karier (sukan permotoran): 1950-1978

 

 

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here