LEGENDA BOLA SEPAK NEGARA MOHD. SHAH NORBIT MENINGGAL DUNIA

0
1091
Allahyarham (kanan) ketika menerima kunjungan Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul di kediamannya bulan lalu.

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Legenda bola sepak negara, Mohd. Shah Norbit, 69, meninggal dunia hari ini selepas berada dalam keadaan tenat akibat serangan angin ahmar sejak sebulan lalu.

Pemain yang pernah beraksi menentang Arsenal pada 1975 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.15 petang ini dan Allahyarham meninggalkan seorang balu, Aini Muhamed, 66, dan tiga anak, Mohd Nazri, Mohd Nizam dan Mohd. Nizwan.

Menurut Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, Mohd. Shah yang sebelum ini terlantar di atas katil di kediamannya, Taman Desa Keramat, Ulu Kelang, Selangor juga menghidap pelbagai penyakit kritikal lain seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Makan, minum dan ubat-ubatan buatnya juga hanya disalurkan menerusi tiub selain perlu memakai lampin yang turut kerap ditukar,” kata Noorul yang sebelum ini pernah menziarahi Mohd. Shah di kediamannya.

Yakeb dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain telah menghulurkan bantuan bagi meringankan kesempitan hidup pemenang pingat perak Sukan SEAP Bangkok 1975 ini yang berupa wang tunai, katil dan tilam khas.

Anak keduanya, Mohd. Nizam Mohd. Shah Alias berkata: “Sudah sebulan bapa saya diserang angin ahmar malah sejak seminggu lalu, keadaan kesihatannya didapati makin tenat.”

Mengimbas karier bola sepak Allahyarham, dia beraksi dalam satu pasukan dengan Datuk Namat Abdullah, Datuk Santokh Singh, Allahyarham Isa Bakar dan mendiang Wong Choon Wah yang menewaskan kelab Divisyen Satu England, Arsenal 2-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 11 Mei 1975.

Pemain lain yang memperkuatkan skuad negara bimbingan mendiang Datuk M. Chandran dalam perlawanan persahabatan itu adalah mendiang Datuk R. Arumugam, Datuk Soh Chin Aun, Vincent Clement Thambyrajah, Datuk Shukor Saleh dan Harun Jusoh.

Skuad negara juga diikat 1-1 oleh The Gunners kendalian mendiang Bertie Mee dan dibarisi bintang England seperti Brian Kidd, John Radford dan Peter Storey selepas jaringan Isa di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan kedua, 13 Mei 1975.

Mohd. Shah yang dianggap sebagai antara pemain serba boleh, pernah membantu skuad negara muncul naib juara Pestabola Merdeka dan meraih pingat perak Sukan SEAP 1975 setelah ditewaskan Korea Selatan 1-0 dan Thailand 2-1 dalam perlawanan akhir.

Allahyarham yang lahir di Kuala Kangsar, Perak pada 25 November 1951, menyarung jersi skuad kebangsaan dari tahun 1972 hingga 1976 selain menyerlah bersama Selangor selaku juara Piala Malaysia lima kali pada 1971, 1972, 1973, 1975 dan 1976.

Dia juga pernah menjadi penolong jurulatih Selangor kepada Datuk Khaidir Buyong sehingga 2000 sebelum melatih Melaka dari 2001 hingga 2003, skuad wanita Malaysia (2006-2008), Angkatan Tentera dan SPA mulai 2013.

Abangnya, Mohd. Zulkifli juga merupakan bekas pemain Selangor dan Malaysia pada era 60-an hingga 70-an selain seorang lagi saudara mereka, Mohd. Jamaluddin Akhir. – AH

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here