HONDA ASIA DREAM RACING WITH SHOWA TEKAD CIPTA KEJUTAN

0
561

 

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Barisan pelumba yang menggalas cabaran pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa pada kejuaraan Endurance World Championship (EWC) Sepang 8-Hour minggu ini mampu menghadiahkan kejuatan buat pasukan tersebut minggu ini.

Meskipun perlumbaan endurance itu baru pertama kali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun pengurusan pasukan tersebut optimis untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

Keyakinan itu adalah berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh barisan pelumbanya sepanjang tahun ini yang telah memperlihatkan pencapain cemerlang dalam beberapa kejuaraan yang mereka sertai.

Pada aksi di Sepang nanti, pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa akan digalas oleh Md Zaqhwan Zaidi (Malaysia) Andi Farid Idzihar (Indonesia) dan Somkiat Chantra (Thailand).

Mereka memiliki kelebihan tersendiri dan ia dilihat sebagai kombinasi mantap untuk menjulang reputasi pasukan tersebut di Sepang minggu ini.

Zaqhwan merupakan pemenang tempat ketiga keseluruhan kelas ASB1000cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 yang berakhir di Litar Antarabangsa Chang Buriram, Thailand bulan lalu.

Dia antara pelumba endurance paling berpengalaman dalam pasukan dan kombinasinya dengan Andi dan Somkiat memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Menurut pengurus pasukan, Zulhelmi Ahmad, jika perancangan mereka berjalan lancar, besar kemungkinan pasukan tersebut boleh menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.

“Kami mempunyai barisan pelumba yang agak mantap dan segala persediaan juga berjalan dengan baik.

“Barisan jurutera juga telah bekerja keras untuk menyediakan pelarasan terbaik untuk jentera kami dan ia bersesuaian dengan keadaan litar.

“Dengan barisan pelumba yang ada, saya optimis untuk menamatkan perlumbaan minggu ini dalam kelompok lima terbaik,” jelas Zulhelmi.

Meskipun optimis, Zulhelmi tetap mengingatkan barisan pelumbanya agar menjaga tahap kecergasan masing-masing bagi memudahkan misi mereka pada pelumbaan itu nanti.

“Selain menyediakan jentera terbaik, kami tetap mengutamakan tahap kecergasan para pelumba. Mereka perlu kekal cergas bagi memudahkan tugas untuk memberi saingan kepada pasukan lain yang turut memiliki pelumba berkelas dunia,” ujarnya.

Pada aksi di Sepang nanti, pasukan tersebut tetap mempertaruhkan jentera Honda CBR1000RR untuk mengharungi perlumbaan yang menuh mencabar itu kerana ia sudah terbukti memberikan hasil yang baik.

Jentera tersebut tidak pernah mengecewakan terutama untuk perlumbaan endurance, malah telah membuktikan kehebatannya dalam beberapa kejuaraan berprestasi tinggi.

Kestabilan, ketahanan serta kepantasan merupakan kelebihan yang tidak boleh dipertikaikan dan para pelumba juga mudah untuk mengendalikannya.

 

 

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here