LANGKAWI, 19 Okt – Kehadiran enam pasukan World Tour (Jelajah Dunia) ternyata ‘menggegar’ penganjuran perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang berlangsung selama lapan hari sebelum kejohanan jelajah berbasikal terulung di rantau Asia itu berakhir di Langkawi,Kedah pada Selasa.
Malah, Penaung Human Voyage (M) Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Mydin berkata, kehadiran kesemua pasukan elit dunia itu yang mempertaruhkan barisan pelumba terbaik masing-masing telah memberi ‘nilai tambah’ kepada penganjuran bagi edisi ke-26 tahun ini.
“Untuk membawa enam pasukan World Tour bukan satu perkara yang mudah tetapi kita berjaya melakukannya. Tarikh sekitar September atau Oktober mampu menarik lebih banyak penyertaan pasukan WorldTeam (Jelajah Dunia) menyertai perlumbaan.
“Tahun ini juga kita buat perubahan tarikh penganjuran berbanding sebelum ini pada awal tahun. Kenapa kita mohon pada September atau Oktober? Walaupun kita tahu musim hujan tetapi kita tak mampu bersaing dengan negara Timur Tengah.
“Dulu tidak ada Tour of Oman ataupun Qatar. Mereka mempunyai dana yang banyak dan oleh itu mereka berupaya untuk membida tarikh itu (Januari hingga Julai). Jadi untuk mengelakkan perkara itu, kita buat pada hujung tahun.
“Kalau dilihat pada sejarah (penganjuran LTdL), tak banyak kejohanan yang ada, antaranya Tour de France, Giro d’Italia, Vuelta a Espana, itu semua adalah Grand Tour. Jadi (pada 1996), kita bawa dengan standard 2.2 dan ia naik sehingga sekarang menjadi Pro Series.
“Jadi kita mengambil Pro Series pun sudah memadai berbanding World Tour. Pro Series pun sudah cukup baik sekiranya mereka datang untuk mengumpul mata,” katanya kepada pemberita sejurus tamat Peringkat 8 LTdL 2022 di Pekan Kuah, Langkawi pada Selasa.
Enam pasukan Jelajah Dunia yang menghangatkan LTdL 2022 adalah UAE Team Emirate daripada Emiriah Arab Berasati (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar Team (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).
Selain enam paaukan elit dunia itu, empat pasukan berstatus Pro Benua (pro contonental) yang terdiri daripda Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol) turut mengambil bahagian.
Pada masa sama, Abdul Malik berkata, penganjuran kali ini yang diadakan pada penghujung musim dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menjadi antara faktor yang ‘membawa’ kesemua pasukan itu menyertai LTdL 2022.
“Kalendar dari Januari hingga Julai (pada ketika ini) penuh dengan kejohanan WorldTour. Jadi kalau nak selit dalam bulan itu, memang sukar. Jadi perkara sebeginilah yang kita boleh membuat perubahan, kita perlu melihat kepada mana yang lebih sesuai dengan kita,” jelasnya.
Mengenai tarikh serta perubahan lain yang dilakukan pada edisi kali ini seperti siaran langsung ke 70 buah negara, Abdul Malik berkata, pihaknya berharap penganjur seterusnya dapat mengikuti langkah pembaharuan itu demi kelangsungan LTdL di pentas antarabangsa.
“Kita sudah cuba melakukan pembaharuan, tetapi terpulang kepada mereka. Mereka mempunyai analisis tersendiri dan kita tak boleh desak perkara sebegini. Saya harap tanda aras yang diletakkan ini dapat dilihat mereka pada edisi akan datang,” jelasnya.
Selepas kali pertama diberikan kepercayaan menganjurkan LTdL edisi ke-20 pada 2015, Human Voyage diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menjadi hos LTdL bermula 2019, 2020 dan 2021 apabila penganjuran edisi 2021 ditunda susulan pandemik Covid-19.
Keputusan LTdL 2022
Pendahulu keseluruhan (Jersi Kuning)
1. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) 25:54.00s
2. Hugh John Carthy (EF Education Easypost) 25:54.23s
3. Torstein Traeen (Uno-X Pro Cycling Team) 25:55.47s
Pelumba terbaik Asia (Jersi Putih)
1. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 25:56.32s
2. Andrey Zeits (Astana Qazaqstan Team) 25:56.33s
3. Ariya Phounsavath (Thailand Continental Cycling Team) 26:02.23s
Raja Pecut (Jersi Hijau)
1. Erlend Blikra (Uno-X Pro Cycling Team) 49 mata
2. Max Kanter (Movistar Team) 45 mata
3. Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) 39 mata
Raja Bukit (Jersi Merah)
1. Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff (Terengganu Polygon Cycling Team) 29 mata
2. Jambaijamts Sainbayar (Terengganu Polygon Cycling Team) 29 mata
3. Ivan Ramiro Sosa Cuervo (Movistar Team) – 25 mata
Pasukan pendahulu keseluruhan
1. Movistar Team – 70:28.42s
2. EF Education – Easypost – 70:32.51s
3. Uno-X Pro Cycling Team – 70:34.32s
Pasukan terbaik Asia
1. Terengganu Polygon Cycling Team – 77:46.27s
2. Thailand Continental Cycling Team – 77:50.36s
3. Team Ukyo – 78:35.24s