JAGUH KAYAK POLITEKNIK MALAYSIA, UiTM SAMA UNGGUL

0
870

TANJONG MALIM, 15 Ogos – Politeknik Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) masing-masing membolot dua daripada lima pingat emas yang dipertandingkan pada hari kedua acara kayak Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2020 hari ini.

Emas pertama Politeknik Malaysia di Tasik Marina Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dimenangi dalam kategori TK2 berpasangan lelaki menerusi Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal dan Muhammad Fakrullah Mohd. Rumaize manakala Muhammad Ridzuan Abdul Aziz unggul dalam acara perseorangan TK1 lelaki.

UiTM pula lebih unggul dalam acara wanita apabila pasangan Aimi Ayuni Azwan
dan Aisyah Farhanan Azwan memenangi TK1 manakala acara TK2 dikuasai Marina
Muzaffa.

Skuad kayak tuan rumah UPSI tidak pulang hampa apabila turut meraih satu emas
menerusi Muhammad Shafik Ikhwan Hamzah dan Roqaiyah Nor Amran yang bergandingan dalam acara TK2 campuran.

Pengurus pasukan kayak Politeknik Malaysia, Khairul Nazry Talib yang ditemui
kemudian jelas bangga dengan pencapaian barisan atletnya hari ini walaupun
skuadnya tidak memenuhi sasaran pingat.

“Walaupun sebenarnya kami menyasarkan lebih banyak pingat emas tetapi
saingan yang diberikan oleh universiti lain cukup sengit, dan kita puas hati dengan
pencapaian dua emas ini.

“Pencapaian itu yang cukup baik memandangkan atlet kami sudah lama tidak
melibatkan diri dalam kejohanan-kejohanan lain, jadi ini merupakan permulaan
yang memberangsangkan,” tambahnya.

Khairul juga berharap pencapaian anak buahnya itu akan diteruskan hingga ke
peringkat kebangsaan terutama sekali Sukan Malaysia (SUKMA) pada September
nanti.

Jurulatih sukan kayak UiTM Adam Aris pula berkata, pihaknya amat bersyukur
walaupun tidak mendapat peluang untuk menyapu bersih semua emas.

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan tetapi secara keseluruhannya saya
berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan walaupun ada beberapa kesilapan yang menyebabkan atlet kami melepaskan peluang keemasan,” katanya.

Katanya, kini pihaknya akan menyiapkan atlet UiTM untuk menghadapi beberapa kejohanan seterusnya termasuk SUKMA, kejohanan kebangsaan dan Sukan SEA.

Sementara itu, UiTM menambah koleksi pingat emasnya apabila menyapu bersih kedua-dua emas yang dipertandingkan di gelanggang petanque hari ini.

Beraksi pada hari terakhir acara UiTM membuktikan keunggulannya menerusi acara trio lelaki yang dianggotai Mohamad Muqri A’rif Mohamad Sapiny, Ezzeff Ezani dan Hasbullah Ahmad Aminudin.

Trio UiTM jelas terlalu unggul untuk disaingi apabila mereka mudah menewaskan trio dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dibarisi Muzaffar Ikrami Ibrahim, Muhammad Haziq Mohd Hisham dan Akmal Hakim Abdul Hallim dengan keputusan 13-0.

Satu lagi pingat emas disumbangkan melalui acara trio wanita menerusi Nurin Izzati Hakim Salim, Nurul Hazirah ‘Izzati Hussin dan Nur Nadirah Burhan Shahidi selepas mereka berjaya mengalahkan pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibarisi Nur Izzati Adilah Mohd Noor, Nurul Najihah Mat Seman dan Khairunnisa Izzati Kamaruddin dengan keputusan 13-4.

Pasukan lelaki Politeknik Malaysia dan pasukan wanita Kolej Komuniti Malaysia pula masing-masing membawa pulang pingat gangsa.

Kemenangan hari ini bermakna UiTM memenangi empat daripada enam emas dipertandingkan secara keseluruhan dalam acara petanque selepas mereka merangkul pingat emas acara perseorangan wanita dan beregu lelaki sebelum ini.

Menurut jurulatih pasukan petanque UiTM, Syed Ali Syed Akil prestasi cemerlang pasukannya tidak akan wujud jika pemainnya tidak bekerja keras terutama ketika latihan pusat yang diadakan selama dua minggu sebelum SUKIPT 2022 berlangsung.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here