KUARTET ‘BIDAN TERJUN’ UPM TAMPIL LUAR BIASA

0
468
Kuartet 4x100m wanita UPM tampil hebat walaupun anggota mereka bukan terdiri daripada pelari pecut.

Oleh NURUL IZZAH BESERI

TANJONG MALIM, 16 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) terlalu unggul pada hari pertama acara olahraga yang mula membuka gelanggang pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila merangkul enam daripada 11 pingat emas yang ditawarkan hari ini.

Atlet acara 5,000 meter jalan kaki wanita Nurul Alyahaziqah Kamarazaman memulakan pesta menuai emas buat UPM pada sebelah pagi, namun tumpuan dicuri oleh dua kuartet ‘bidan terjun’ mereka yang menguasai acara 4×100 meter.

Kedua-dua kuartet 4×100 meter UPM terpaksa dibentuk dari kalangan atlet acara lain kerana mereka kekurangan atlet pecut.

Meskipun serba kekurangan, ternyata ia bukan halangan buat mereka untuk menampilkan aksi luar biasa ketika berlangsungnya acara 4×100 meter hari ini.

Lebih mencuri tumpuan adalah atlet merejam lembing turut disenaraikan untuk menjadi salah seorang ‘anchor’ dalam kuartet ‘bidan terjun UPM itu.

Dalam acara 4×100 meter wanita itu, kuartet UPM yang dianggotai Darshini K. Murugan, Nor Fatihah Mohd Haniff Winnie Eng May Xin dan Mandy Goh Li menang emas dengan masa 50.00 saat, mengalahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan yang merekodkan masa 52.05 saat manakala Universiti Sultan Idris (UPSI) yang mencatatkan masa 53.75 saat membawa pulang pingat gangsa.

Anggota skuad UPM, Nor Fatihah tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang istimewa kerana mereka tidak pernah berlatih bersama.

“Sebenarnya saya tidak menjangka untuk menang memandangkan saya adalah seorang atlet merejam lembing dan tidak yakin untuk bertanding dalam acara 4×100 meter, namun sokongan daripada rakan-rakan menaikkan keyakinan saya,” katanya.

Selepas kejayaan pasukan wanita mereka, penyokong UPM kemudian meraih kegembiraan berganda apabila kuartet lelaki mengulangi pencapaian itu.

Dianggotai oleh Benedict Ian Gawok, Mohd. Rizzua Haizad Muhamad, Andre Anura Anuar dan Muhammad Zulfiqar Ismail, mereka mencecah garisan penamat dengan masa 42.02 saat, meninggalkan UPSI (42.17 saat) yang berada di kedudukan kedua manakala kuartet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan perlumbaan tersebut ditangga ketiga dengan mada 43.26 saa).

Pelari utama UPM, Zulfikar berkata pasukannya tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi SUKIPT, di samping memerlukan atlet daripada acara lain iaitu Andre Anura yang merupakan pemegang rekod lompat jauh kebangsaan untuk membantu memperkuatkan kuartet UPM.

“Cabaran utama kami ialah tidak menjalani latihan yang mencukupi, namun saya berbangga kerana kami berjaya menyumbangkan emas buat universiti kami,” katanya.

Pingat emas UPM semalam turut disumbangkan oleh atlet lontar peluru wanita Nani Sahirah Maryata serta atlet kebangsaan R. Kitana (lompat jauh). Muhammad Firdaus Mohamad Zemi pula melakukannya dalam acara 400 meter lelaki.

(Penulis merupakan pelajar tahun pertama Jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan di UiTM Shah Alam.)

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here