TANJONG MALIM, 13 Ogos – Kehebatan wakil negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) terlalu sukar untuk disaingi oleh peserta lain apabila mereka menguasai hampir kesemua acara karate kumite Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
Paling mencuri tumpuan ialah apabila pemenang pingat emas AUG di Ubon Ratchathani, Thailand, Denishroy Arulveeran hanya memerlukan masa tidak sampai seminit daripada tiga minit yang diperuntukkan untuk memenangi kelas 84 kilogram (kg) ke atas sekali gus menghadiahkan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pingat emas.
Beraksi dalam perlawanan terakhir kumite di Dewan Khar, Denishroy melepaskan satu tendangan tepat ke muka lawannya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Alvin Tam untuk berada lima mata di hadapan.
Dia kemudian berjaya melepaskan satu tumbukan dan satu tendangan ke badan untuk memperoleh kelebihan lapan mata sekali gus menamatkan persaingan.
Ditemui selepas dia menang 8-0, Denishroy berkata jeritan daripada penyokong UPM benar-benar membakar semangatnya untuk memburu kemenangan, selain menggunakan sepenuhnya kelebihan fizikal yang dimiliki.
“Sorakan daripada penyokong menguat dan membakar semangat saya untuk beraksi sebaik mungkin. Saya juga menggunakan sepenuhnya kelebihan dari segi ketinggian untuk melancarkan serangan tepat,” kata penuntut tahun pertama jurusan komunikasi itu.
Mengenai perancangannya selepas ini, adik kepada bekas jaguh kebangsaan Somanroy itu berkata dia meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur bulan depan.
“Saya akan mewakili Negeri Sembilan dalam Sukma, sasaran saya ialah untuk memenangi pingat emas. Saya harap kemenangan dalam Sukma akan menguatkan peluang saya untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” kata jaguh dari Seremban berusia 21 tahun itu.
Sementara itu atlet kebangsaan Amirah Syahirah Azlan pula menang 2-1 ke atas Shalini Rajandran dari Management Sains University (MSU)untuk memenangi pingat emas kelas bawah 68kg wanita buat Universiti Malaya (UM).
“Saya kurang berpuas hati dengan bahagian pertama dan kedua aksi saya tadi, tetapi saya gembira kerana dapat memperbaikinya seterusnya memenangi perlawanan. Perlawanan tadi bukanlah mudah kerana lawan saya juga adalah atlet yang pernah mewakili skuad negeri.
“Esok saya akan ke Konya di Turkiye untuk menyertai Sukan Solidariti Islam dan sasaran saya ialah untuk memenangi pingat, tidak kira apa pun warnanya,” kata pelajar jurusan sains sukan itu, yang merupakan pemenang gangsa di AUG.
Terdahulu UM memperoleh emas pertamanya dalam acara kumite apabila Kathish Gnanasekaran menumpaskan Rajev Naaidu dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) 3-0 untuk memenangi kategori bawah 84kg.
UPNM walau bagaimanapun berjaya mencuri satu emas menerusi jaguh Sukan SEA, Muhammad Arif Ab. Malik yang menumpaskan Daneshkumar Selvakumar 2-1 dalam kategori bawah 75kg.
Pressy Misty Philip (gambar kiri berdiri dua dari kiri) pula meraih satu emas buat Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas menewaskan wakil UPSI, Laniesha Arumugam 4-1.
Pingat emas bawah 67kg lelaki pula diraih oleh Christantine Christer Mattan dari UPSI yang mengalahkan wakil UPNM, Muhammad Ameer Sirajuddin manakala Siti Nur Azwani Nor Azli dari UPM menyingkirkan cabaran Vaisnavi Murugan dari Politeknik dalam perlawanan akhir kelas bawah 61kg wanita.
Sementara itu Nur Anis Shamiera Nazuha Mohd. Nadzry-Nuraini Zulpetry yang mewakili Politeknik mencipta kejutan di gelanggang petanque apabila menewaskan pasangan pilihan dari UiTM, Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali-Nur Zahrah Burhan Shahidi dengan 13-5.
Sharifah Aqilah Farhana, yang merupakan anak kepada jurulatih kebangsaan, sebelum ini memenangi satu perak dan satu gangsa dalam AUG.
UiTM walau bagaimanapun kekal selaku kuasa utama petanque dalam SUKIPT apabila merangkul dua daripada empat pingat emas yang dipertandingkan pada hari kedua acara itu.
Athirah Sareh menyumbangkan emas pertama buat UiTM dalam kategori single wanita selepas menewaskan peserta Kolej Poly-Tech MARA (KPM), Nur Afiqah Jasni 13-5 dan kemudian menyaksikan rakannya Syed Afiq Fakhri Syed Ali dan Haris Jonaidey menepati ramalan dalam kategori double lelaki selepas menewaskan Muhamad Darwish Hariri Waheb-Ahmad Arif Hakimi Mohd. Hannizan dari Politeknik Malaysia 13-2.
Universiti Malaysia Pahang (UMP) juga berjaya merangkul satu pingat emas apabila Wan Mohamad Farihin Wan Rosli menewaskan wakil Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Asyraf Wajdi Kamarozaman dengan 13-8 dalam kategori single lelaki.