Kim Swee kecewa Malaysia tewas 0-1 kepada Filipina

0
638

KEPUTUSAN ini memalukan, kata  pengendali skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee selepas melihat skuad kendaliannya tewas 0-1 di tangan Filipina pada aksi kedua Kumpulan A Sukan Sea 2019 di Stadium Memorial Rizal, di sini, malam ini.

Jelas Kim Swee, tuan rumah dilihat lebih bernafsu memburu kemenangan berbanding anak buahnya yang gagal memperagakan aksi terbaik.

“Ini bukan keputusan yang baik untuk kita…kita bolos disebabkan situasi bola mati, tapi ia menunjukkan bahawa Filipina lebih baik malam ini dan mereka lebih ‘lapar’ daripada kita.

“Kita harus malu dengan keputusan ini tetapi dari segi matematik kita masih bepeluang ke peringkat seterusnya,” katanya pada sidang media pasukan.

Malaysia yang seri ketika aksi pembukaan 1-1 menentang Myanmar kini berdepan situasi sukar untuk melepasi halangan peringkat kumpulan selepas sekadar mengumpul satu mata.

Jaringan tunggal tuan rumah dihasilkan menerusi jaringan ketua pasukan Filipina, Stephan Schrock mengambil sepakan penjuru yang terus ke gawang negara buat memerangkap Haziq Nadzli di minit ke-72.

Sementara itu, jurulatih skuad Junior Azkals, Goran Milojevic mengakui hairan dengan taktikal Malaysia yang menggunakan formasi 3-5-2 yang dilihat membuka peluang untuk anak didiknya menguasai aksi.

“Sebelum ini Malaysia guna formasi lain dan ia beri kami lebih ruang untuk bergerak. Apapun, kami sememangnya layak keluar sebagai pemenang dan tumpuan seterusnya bertemu Timor Leste,” kata Milojevic.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here