Laksa tumis ada sotong, udang, memang puas betul makan

0
2240
Laksa Tumis Seafood antara menu istimewa anda wajib cuba.

LAKSA… macam-macam ada jenisnya. Ada laksa Johor, laksa Sarawak, laksa Kelantan, laksa nyonya, laksa lemak dan laksa Utara.

Kalau di Langkawi, popular dengan laksa ikan sekoq (seekor) tepi pantai dan ketika ini pula ramai orang mencuba laksa telur bersarang.

Sebenarnya dalam setiap laksa itu, ia boleh dipelbagaikan resipinya. Kalau kena caranya, tentulah enak.

Jika ada sesiapa yang ke Kulim, Kedah, singgahlah di restoran Laksa Tumis Seafood Iejazol.

Kuah laksanya bukan saja pekat dan ‘kaw’ tapi yang istimewanya ia ditumis terlebih dahulu. Laksa ini boleh dihidangkan dengan makanan laut seperti sotong, udang, bebola ikan dan isi ketam.

Malah bagi mereka yang agak cerewet tentang makanan kerana khuatir akan hanyir ikan, apa yang boleh dikongsi ialah kuah laksa Tumis Seafood Iejazol ini menggunakan ikan sardin segar. Gerenti tak hanyir.

“Bagi pelanggan yang sedikit cerewet tentang makanan, jangan risau kerana di sini laksa terutamanya kuah yang kami hidangkan tidak hanyir. Dan apa yang boleh saya katakan, setakat ini banyak respons yang positif saya dapat.

“Rata-rata pelangan yang datang makan di sini, pasti akan minta bungkus untuk dibawa pulang. Kata mereka tak puas!” kongsi Hasniza Halim, pemilik restoran ini kepada mStar.

Dipadankan dengan makan laut seperti sambal tumis sotong, udang serta bebola ikan dan ketam ia merupakan antara kombinasi sempurna yang mampu menambatkan selera pelanggan.

Berbeza dengan kedai laksa yang lain, pelanggan boleh menikmati hidangan laksa ini sehingga lewat malam kerana restoran ini beroperasi setiap hari dari pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam dan tutup pada hari Jumaat.

 

“Apa yang istimewanya penyediaan laksa ini sendiri. Bahan asasnya untuk membuat kuah laksa sama sahaja dengan yang lain cuma saya olah sedikit mengikut selera masyarakat sekarang.

“Mungkin mereka sudah bosan dihidangkan bersama telur rebus, jadi dari situlah timbul idea ini yang saya kemudiannya olah semula dan dipadankan dengan sambal tumis seafood,” kongsinya.

Selain itu, berbeza dengan laksa lain yang menggunakan sotong kering. Di sini, Hasniza mengambil risiko dengan menggunakan sotong basah.

“Sebenarnya ramai yang pertikaikan harga RM6.50 untuk semangkuk Laksa Tumis Sotong, mereka kata murah. Yelah sebab saya guna sotong hidup bukan sotong kering macam di kedai-kedai lain.

“Cuma satu saja risiko dia, bila masak sotong tu jadi kecil. Bukan apa, saya guna sotong ‘hidup’ supaya ia lebih manis. Jadi ada rasa pedas, masam dan manis tu seimbanglah,” katanya.

Tidak hanya mementingkan menu istimewa laksa tumis ini, Hasniza berkata, terdapat satu lagi minuman istimewa di restorannya dan sering mendapat permintaan pelanggan.

Teh Tarik Madu Leleh Musang Berjanggut sesuai dipadankan dengan hidangan laksa tumis seafood ini. Dihidangkan di dalam gelas bersaiz besar sememangnya buat anda tersandar puas menikmati hidangan.

“Minuman ini selalu dapat permintaan. Rata-rata pelanggan yang datang ke sini, kalau mereka pesan laksa mesti mereka akan cuba teh ais ini. Istimewa air ni kami campurkan dengan madu asli,” ujarnya.

Oh ya! Jangan tak tahu, laksa tumis seafood ini datang dengan lima jenis hidangan laksa yang berbeza seperti Laksa Tumis Telur hanya RM4, Laksa Tumis Udang RM5.50, Laksa Tumis Seafood RM6.50, Laksa Tumis Sotong RM6.50, dan yang terakhir Laksa Tumis Seafood Special berharga RM9.

Kongsi ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, terdapat menu  istimewa yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat iaitu laksa tumis tauhu dan laksa tumis telur puyuh.

Bagi penyediaan kuah laksa beliau akan menggunakan kira-kira 30 kilogram ikan sardin segar setiap hari kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Selain menu istimewa ini, terdapat juga menu-menu lain seperti nasi putih set ayam goreng, ayam kampung, keli goreng serta bawal goreng dan dimsum.

Apa yang menariknya lagi, pelanggan boleh tambah nasi secara percuma. Ya, betul! Tanpa sebarang caj dikenakan.

Jadi tiada lagi masalah untuk anda, membuat pilihan jika datang ke restoran ini.

Haaa… jangan tak tahu ya! Di sini turut menyediakan servis penghantaran dan bayaran dikenakan mengikut kawasan termasuklah sehingga ke Pulau Pinang.

Tertanya-tanya di mana sebenar lokasi laksa viral ini? Nah, anda boleh berkunjung ke restoran Laksa Tumis Seafood Iejazol yang terletak di Taman Tiram, Lunas, Kulim Kedah.

Atau dengan teknologi yang canggih sekarang ini, anda hanya perlu taip sahaja di Google Map atau Waze nama restoran ini dan pasti anda akan menemuinya! Tak susah pun.

 

Content retrieved from: https://www.mstar.com.my/travel/selera/2019/11/11/laksa-tumis.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here