PKBM: LE TOUR de LANGKAWI (LTdL) 2021 DIBATALKAN

0
618

MELAKA, 17 Nov – Teka-teki tentang nasib Le Tour de Langkawi 2021 (LTdL 2021) kini terjawab apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlumbaan elit di Asia itu dibatalkan penganjurannya dan akan dianjurkan semula pada 2022.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab mengesahkan perkhabaran tersebut dan menjelaskan keputusan berkenaan dicapai secara bulat suara ketika mesyuarat khas semalam melibatkan pelbagai pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Abu Samah menjelaskan PKBM selaku pemegang hak penganjuran LTdL akan memberi penjelasan terperinci kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dengan kadar segera bagi memudahkan semua pasukan yang telah menerima jemputan untuk membuat tindakan susulan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa keputusan untuk membatalkan Le Tour de Langkawi 2021 telah dicapai secara bulat suara semalam (kelmarin). PKBM bersetuju dengan keputusan ini. Begitu juga KBS. Saya berpendapat inilah keputusan terbaik untuk semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan semalam.

Abu Samah (gambar kecil) yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan keputusan tersebut dicapai memandangkan masa sangat suntuk buat semua pihak melakukan persiapan rapi rentetan pandemik Coronavirus 2019 (Covid-19) yang melanda dunia sejak awal tahun ini.

“Apatah lagi keputusan untuk membatalkan Sukma 2021 juga telah dibuat. Jadi, adalah lebih baik kalau keputusan untuk membatalkan Le Tour de Langkawi 2021 turut dilakukan. Saya harap keputusan ini baik untuk semua pihak,” katanya.

Beliau turut mendedahkan ada percubaan oleh pihak tertentu untuk menganjurkan LTdL 2021 pada September 2021 namun ia berdepan jalan berliku termasuk kesukaran bagi mendapatkan tarikh penganjuran daripada UCI.

“Secara kebetulan, Jelajah Malaysia 2021 juga akan diadakan pada September. Jadi agak sukar untuk mendapatkan tarikh sesuai untuk Le Tour de Langkawi 2021. Apabila ini timbul, pengurus acara memang sukar untuk mendapatkan penyertaan pasukan elit dunia,” katanya lagi.

Sebelum ini ramai pihak termasuk kelab benua terkenal negara ini dan Asia menyuarakan keresahan tentang penganjuran LTdL 2021.

Ada yang mencadangkan ia ditunda demi kebaikan bersama.

Abu Samah percaya keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 dan menganjurkannya pada 2022 satu tindakan pragmatik, bersesuaian dengan suasana terkini di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Ada banyak perkara yang mesti difikirkan oleh semua pihak termasuk PKBM dan KBS. Saya percaya UCI akan menerima penjelasan kami kerana ia dicapai dan diputuskan berdasarkan suasana yang sangat mendesak,” katanya.

Le Tour de Langkawi merupakan perlumbaan berbasikal paling elit di benua Asia dan ia sering melahirkan pelbagai nama baharu yang kemudiannya menjadi bintang dalam kancah berbasikal dunia.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here