POPIC 2023: JENKINSON, PEIGE WOOD JUARA KESELURUHAN KATEGORI ANTARABANGSA

0
409
Peige (dua dari kiri) muncul juara keseluruhan bagi kategori wanita antarabangsa.

KUANTAN, 5 Nov – Kent Jenkinson dan Peige Wood terus membuktikan kehebatan mereka pada kejuaraan Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 apabila muncul juara keseluruhan kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki dan wanita, yang berakhir di Pantai Teluk Chempedak di sini hari ini.

Kent memperbaiki pencapaiannya tahun lepas yang sekadar muncul naib juara keseluruhan dan kini membuktikan dia setanding dengan juara dunia Dawid Mocke yang muncul juara keseluruhan edisi pertama POPIC tahun lalu.

Kent, dari New Zealand, menamatkan saingan selama tiga hari dengan catatan masa keseluruhan 4 jam 36 saat untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 sebagai juara keseluruhan.

Ia diikuti oleh adik beradik Harry ( 4jam 08 min 25s) dan Charlie Hewitt (4jam 16min 02s).

“Saya terharu dan gembira dengan kejayaan ini, walaupun berdepan sedikit kesukaran dengan radar tadi, saya berjaya mengekalkan kedudukan hingga penamat dan muncul juara keseluruhan.

“Saya pasti akan kembali untuk mempertahankan kejuaraan saya di sini malah amat mengharapkan Mocke ( juara 2022) tampil tahun hadapan,” tambahnya.

Dalam saingan peringkat ketiga hari ini pendayung kategori SS1 berkayuh sejauh 20 kilometer di perairan Teluk Chempedak dan turut memasuki Kuala Sungai Pahang yang menghidangkan cabaran dua arus (laut dan sungai) sebelum berpatah balik dan menamatkan perlumbaan di Pantai Teluk Chempedak.

Kent yang cuba dicabar dua pendayung adik beradik Harry dan Charlie Hewitt, nyata terlalu unggul dengan memimpin perlumbaan sejak awal hingga ke penamat.

Dalam saingan terbuka antarabangsa SS1 wanita,  Peige Wood dari Australia walaupun menamatkan saingan di tempat kedua di peringkat ketiga ini, namun dia diumumkan sebagai juara keseluruhan dengan mengumpul catatan masa 4 jam 32 minit 29 saat untuk membawa pulang RM8,000.

Pada saingan peringkat ketiga, Amanda Bowman muncul pemenang selepas mengatasi Peige dengan hanya berkelebihan 10 saat, dengan catatan masa 2 jam 2 minit 17.29 saat.

Amanda mengumpul catatan masa keseluruhan 4 jam 36 minit 5 saat di tempat kedua keseluruhan, diikuti tempat ketiga Selma Jade Alibegovic (4 jam 39: 32s).

“Secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan prestasi saya walaupun ini kali pertama beraksi di sini dan menyertai pertandingan ala marathon, ” katanya.

Menurutnya saingan cukup berbeza dan mencabar baginya dengan keadaan cuaca yang panas terik dan keadaan ombak di permulaan yang berbeza beza di tiga pantai.

“Saya pasti akan kembali kerana saya belum puas untuk berlumba dan menikmati keindahan dan keistimewaan yang menarik ditawarkan di Malaysia khususnya negeri Pahang,” katanya yang menetap di Perth Australia.

KEPUTUSAN KESELURUHAN KATEGORI ANTARABANGSA

(Lelaki SS1)

  1. Kent Jenkinson (NZL)  4 jam 36s
  2. Harry Hewitt (AUS) 4 jam 08 min 25s
  3. Charlie Hewitt (AUS) 4 jam 16 min 02s

(Wanita SS1)

  1. Peige Wood (AUS) 4 jam 32min 39s
  2. Amanda Bowman (AUS) 4 jam 36min 05s
  3. Selma Jade (AUS) 4 jam 39min 32s

Keputusan Peringkat 3 (Antarabangsa lelaki)

  1. Kent Jenkinson 1h jam 50 min 47.04s
  2. Harry Hewitt  1 jam 51 min 40.91s
  3. Charlie Hewitt 1 jam 55 min 32.81s

Keputusan Peringkat 3 (Antarabangsa wanita)

  1. Amanda Bowman 2 jam 02min 17.29s
  2. Peige Wood 2 jam 02min 27.39s
  3. Selma Jade Alibegovic 2h 03 min 30.39s

Momen menarik yang dirakam ketika berlangsungnya saingan peringkat 3 POPIC 2023 di Teluk Chempedak, Kuantan.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here