MASCA SAMBUT BAIK HASRAT PAHANG ANJUR SIRI PIALA DUNIA

0
377

KUANTAN, 6 Nov – Persatuan Kanu Malaysia (Masca) menyambut baik hasrat kerajaan negeri Pahang yang telah menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah Siri Piala Dunia tahun depan.

Presiden Masca, Raja Shahrul Azremel Raja Sahar berkata, pihaknya berbesar hati jika kerajaan Pahang mahu bekerjasama dengan badan induk kanu negara itu dalam menganjurkan kejohanan tersebut.

“Sudah tentu ia satu perkhabaran yang baik buat sukan kanu di Malaysia apabila kerajaan Pahang bersedia untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa seperti Siri Piala Dunia ini.

“Bagi pihak Masca, saya boleh katakan kami tidak ada sebarang masalah, malah bersedia untuk bekerjasama. Ini merupakan satu petanda positif buat sukan kanu Malaysia untuk terus berkembang,” katanya.

Terdahulu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, kerajaan Pahang bersedia menjadi tuan rumah Siri Piala Dunia tahun depan jika mendapat tawaran daripada ICF.

Mengulas lanjut, Raja Shahrul Azremel memberitahu, Masca akan sentiasa berhubung dengan ICF dalam usaha merealisasikan hasrat Pahang menjadi salah satu venue penganjuran Siri Piala Dunia.

“Untuk makluman, bagi menganjurkan Siri Piala Dunia, kita tidak perlu membuat bidaan seperti mana Kejohanan Kanu Dunia. Cuma kita perlu mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada ICF sahaja.

“Jadi untuk menjadi tuan rumah Siri Piala Dunia, persetujuan atau recommendation ICF amat penting. Saya percaya kita mampu menganjurkan Siri Piala Dunia jika mendapat tawaran daripada ICF,” jelasnya.

Mengulas mengenai edisi kedua Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 yang telah melabuhkan tirai pada Ahad, Raja Shahrul Azremel berkata, ia sesuatu yang positif khususnya buat barisan atlet negara.

Antara aksi menarik yang dirakam pada POPIC 2023 yang berakhir di Kuantan 5 November lalu.

“Sebagai contoh, Khairul Naim (Zainal) dan Montoya (Raw) antara yang menyerlah. Dengan penyertaan pada kejohanan kali, saya harap mereka dapat belajar sesuatu apabila bertanding dengan atlet luar negara.

“Saya melihat POPIC ini juga sebagai satu medan pembelajaran terbaik buat atlet negara. Malah, kita juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dengan penyertaan peserta dalam kategori Inter Varsiti,” ujarnya.

Memasuki edisi kedua, POPIC 2023 melibatkan tiga peringkat perlumbaan dengan jarak 48.5 kilometer (km) bermula di Pantai Rantau Panjang, Rompin, diikuti Pantai Lagenda, Pekan dan berakhir di Teluk Chempedak, Kuantan.

Bertemakan Whack The Wave dengan ganjaran wang tunai keseluruhan RM117,000, POPIC 2023 mempertandingkan enam kategori utama – Terbuka Antarabangsa SS1 (lelaki dan wanita); Terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita) dan Inter Varsiti (lelaki dan wanita).

POPIC 2023 dianjurkan kerajaan Pahang dengan kerjasama Tourism Pahang dan disokong pelbagai agensi kerajaan selain mendapat sokongan penuh Masca dan Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP).

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here