
KLANG, 4 Ogos – Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang terus dipromosikan sebagai hab pelancongan memancing menerusi penganjuran Selangor Surfcasting Challenge 2026 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM17,400 pada Ahad ini.
Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Kail Kota Events dengan sokongan Tourism Malaysia itu dijadual berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Ahli Majlis MBDK, Lee Fu Haw berkata, pertandingan yang memasuki edisi kedua itu menjadi platform terbaik memperkenalkan Tanjung Harapan sebagai destinasi pelancongan berasaskan rekreasi dan aktiviti memancing.

Menurut beliau, lokasi itu mempunyai panorama Selat Melaka yang menarik, kemudahan awam yang semakin lengkap serta terkenal sebagai kawasan pancingan pelbagai spesies ikan.
“Tanjung Harapan mempunyai potensi besar sebagai hab memancing dan pusat rekreasi komuniti. Program ini mampu merancakkan pelancongan serta ekonomi usahawan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, kawasan pesisir berkenaan menjadi habitat semula jadi spesies seperti senangin, mayong, semilang, tebal pipi, gelama, talang, duri dan ketuka.
Beliau berkata, kejayaan edisi lalu yang menyaksikan Rostam Ibrahim, 50, dari Pekan, Pahang muncul juara selepas menaikkan ikan senangin seberat 2.285 kilogram menggunakan umpan udang hidup, sekali gus membuktikan potensi besar Tanjung Harapan sebagai antara lokasi surfcasting terbaik di Selangor.
Bagi pertandingan kali ini, juara akan membawa pulang RM7,000, diikuti naib juara RM1,000, tempat ketiga RM500, tempat keempat RM300, manakala pemenang tempat kelima hingga ke-90 menerima RM100 setiap seorang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Dato’ Haji Abd. Hamid Bin Hussain dijangka hadir menyempurnakan majlis penutup pertandingan serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Yuran penyertaan ialah RM70 bagi satu joran (dua mata kail) dan 200 peserta terawal akan menerima t-shirt eksklusif percuma selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.
Pendaftaran awal dibuka pada 8 Ogos dari pukul 3 petang hingga 7 malam dan diteruskan pada 9 Ogos dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi di khemah penganjur.
Orang ramai yang berminat menyertai pertandingan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 013-2667011, 017-6805934 atau 012-2846811.











