SUKMA XX JOHOR DILANGSUNGKAN PADA APRIL TAHUN DEPAN

0
585
REEZAL (dua dari kanan) bergambar bersama-sama dengan maskot Sukma XX Johor 2020 selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Kota Iskandar, Johor, hari ini.

KOTA ISKANDAR, 19 Sept – Jawatankuasa Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 hari ini membuat keputusan bahawa temasya dwi-tahunan itu akan dilangsungkan pada April 2021.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma XX Johor 2020 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Mesyuarat turut bersetuju supaya kejohanan Para Sukma 2020 diadakan lebih awal, iaitu pada Mac 2021.

“Setelah meneliti apa yang dibentangkan oleh pihak Sekretariat Sukma XX Johor 2020, jawatankuasa sebulat suara bersetuju bahawa Para Sukma akan dikelolakan lebih awal iaitu pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan kemudiannya Sukma XX Johor 2020 yang akan dikelolakan pada 2 hingga 10 April 2021.

“Ini adalah kerana mengambil perkiraan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang akan berlangsung pada 1 hingga 9 Mac dengan 171 atlet akan terlibat dalam peperiksaan berkenaan.

“Saya dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam penentuan tarikh penganjuran ini secara muktamad pada bulan Disember nanti,” kata Reezal.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan Exco-Exco Belia dan Sukan negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M. Noor Azman Taib, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md. Ramli serta pengarah-pengarah Majlis Sukan Negeri.

Sukma XX Johor 2020 akan dilangsungkan di tiga daerah, iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi.

Sebanyak 28 acara sukan akan berlangsung di Daerah Johor Bahru, manakala Muar akan menempatkan sukan kanu, angkat berat dan silambam serta Kota Tinggi menjadi gelanggang bagi sukan pelayaran dan berbasikal lebuh raya.

Selain medan pendedahan bakat baharu, Sukma XX Johor 2020 juga dilihat menjadi pentas penting bagi atlet khususnya dalam memburu tempat untuk mewakili kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada.

Sebanyak RM325.9 juta juga telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri serta turut menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM142 juta.

Antara gelanggang yang dinaik taraf merangkumi Stadium Hoki Taman Daya, Pusat Akuatik Arena Larkin, Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya bagi sukan Wushu, Akademi Majlis Kriket Johor di Mutiara Rini dan Sireh Park serta Iskandar Puteri bagi sukan berbasikal MTB.

 

 

Reezal (dua dari kanan) bergambar bersama-sama dengan maskot Sukma XX Johor 2020 selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Kota Iskandar, Johor, hari ini.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here