TUAH PANCING, PENIAGA MENANG RM5,000 DI TASIK SERI AMAN

0
469
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali.

PUCHONG, 25 Ogos – Taman Tasik Seri Aman di sini terus mencuri perhatian sebagai destinasi rekreasi dan pelancongan apabila menjadi lokasi penganjuran Cabaran Joran Merdeka Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2025, yang berjaya menghimpunkan lebih 700 pemancing dari pelbagai negeri antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.

Pertandingan dwitahunan ini dianjurkan oleh MBSJ dengan kerjasama Nadi Media Events dan mendapat sokongan penuh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 12, sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun kelima MBSJ dan Bulan Kemerdekaan Malaysia.

Lebih membanggakan, program ini turut diangkat sebagai antara inisiatif mempromosikan Taman Tasik Seri Aman sebagai produk pelancongan komuniti, sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Suasana pertandingan yang bermula seawal jam 8.30 pagi berlangsung dalam suasana santai dan meriah, dengan lebih 500 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan oleh para peserta sepanjang tempoh pertandingan.

Cabutan bertuah Motorsikal dimiliki oleh Mohd Zaki Shamsuddin dari Puchong.

Namun, tuah nyata memihak kepada seorang peniaga air dari Semenyih, Mustafa Abdul Aziz, 51, yang berjaya mendaratkan ikan bandar raya seberat 0.

755 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM5,000.

“Saya sebenarnya tidak menyangka langsung untuk menang. Niat asal hanya ingin bersantai bersama keluarga. Ini pun baru kali kedua saya menyertai pertandingan memancing. Tak sangka pula umpan roti pandan disambar ikan,” katanya.

Menurut Mustafa, beliau tiba di lokasi bersama isteri dan dua anak hanya untuk bersantai bersama keluarga, tak sangka menang pula. Beliau juga menyatakan hasrat menggunakan sebahagian wang kemenangan untuk keperluan keluarga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali.

Naib juara dimenangi Nel Bapak, 64, dari Kampung Orang Asli Air Kuning, Shah Alam yang menaikkan ikan tilapia seberat 0.645 kilogram dan membawa pulang RM3,000. Tempat ketiga pula diraih oleh Ahmad Muzammil Samsul Anuar, 30, dari Pantai Dalam yang menerima RM1,000 selepas menaikkan ikan bandar raya seberat 0.580 kilogram.

Sementara itu, Timbalan datuk Bandar MBSJ, Mohd. Zulkurnain berkata, pertandingan ini bukan sekadar acara sukan dan riadah, malah menjadi platform efektif bagi mempromosikan tasik-tasik rekreasi di bawah seliaan MBSJ sebagai destinasi pelancongan komuniti.

“Cabaran Joran Merdeka ini juga merupakan sebahagian usaha menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

“Kita mahu menjadikan kawasan seperti Taman Tasik Seri Aman ini sebagai tarikan pelancong sambil menyemai semangat perpaduan dan gaya hidup sihat melalui aktiviti santai seperti memancing,” katanya.

About The Author