JELEBU, 26 Sept – Pekan Kuala Klawang dijangka menerima kehadiran lebih 5,000 pengunjung sempena penganjuran Jelebu 2 Wheels Festival 2025 pada 11 dan 12 Oktober ini.
Festival tersebut dianjurkan Majlis Daerah Jelebu (MDJ) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah serta Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu.
Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz, berkata festival tersebut bakal menjadi acara terbesar daerah berkenaan tahun ini yang berjaya menghimpunkan peminat motosikal dari seluruh negara.
Menurut beliau, pengisian festival turut menampilkan persembahan mini bike oleh kanak-kanak sekali gus memberi peluang kepada generasi muda untuk diketengahkan dalam bidang sukan permotoran.
“Festival ini bukan sahaja berbentuk hiburan, malah berperanan sebagai platform menggalakkan gaya hidup sihat, merapatkan hubungan masyarakat serta menyemarakkan semangat kesukanan,” katanya.
Tambahnya lagi, penganjuran tersebut mampu memberi impak kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan khususnya kepada peniaga serta pengusaha kecil.
Beliau berkata, festival berkenaan juga merupakan langkah awal bagi mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Antara acara utama termasuk motosikal berkuasa tinggi, pertandingan Battle of Sound & Speed, pameran produk tempatan serta persembahan hiburan rakyat.
Kemuncak festival pada malam 11 Oktober nanti adalah persembahan artis popular, Nizam Laksamana, selain Pertandingan Akhir Battle of Sound & Speed.
Majlis penutup pada 12 Oktober akan disempurnakan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Festival ini disokong agensi kerajaan, NGO serta kelab permotoran dan ia berpotensi untuk menjadi acara tahunan peringkat nasional.












