
SEREMBAN, 7 Okt – Perpatih Fest 2025 yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober ini dijangka menjadi antara festival warisan terbesar di Negeri Sembilan, apabila kesemua 13 luak utama negeri itu dihimpunkan buat pertama kali dalam satu acara besar-besaran bertemakan “Adat Dihayati, Warisan Dilestari.”
Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli, festival ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap Adat Perpatih yang menjadi tunjang sistem sosial Negeri Sembilan sejak turun-temurun, namun masih kurang difahami, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mengamalkan Adat Perpatih secara rasmi, tetapi masih ramai yang tidak mengetahui keindahan dan nilai di sebalik sistem ini. Perpatih Fest adalah medan mendidik masyarakat secara langsung melalui pengalaman budaya yang hidup,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Festival selama tiga hari yang bakal berlangsung di perkarangan Muzium Negeri Sembilan itu akan menampilkan 16 khemah khas mewakili luak-luak utama, masing-masing mempersembahkan warisan unik mereka termasuk busana, adat, peralatan tradisional dan kisah sejarah tersendiri.
Lebih menarik, festival ini turut meraikan kepelbagaian budaya Negeri Sembilan melalui penyertaan komuniti Orang Asli, Cina dan India yang akan mempersembahkan demonstrasi masakan tradisional serta pameran adat dan seni budaya masing-masing – satu simbolik kepada semangat perpaduan negeri berbilang kaum.
Antara tarikan utama festival ialah Program Olek Orang Pangka, yang mengetengahkan semangat gotong-royong dalam persiapan majlis tradisional masyarakat Minangkabau – dari pemasangan pelamin hingga ke penyediaan hidangan kenduri, menggamit suasana kampung yang autentik.
Dalam usaha memodenkan promosi warisan, festival ini juga memperkenalkan Google Submit Tech, iaitu platform digital yang akan digunakan untuk merakam, memelihara dan menyebarluaskan maklumat berkaitan adat dan budaya Negeri Sembilan secara global.
Turut diadakan ialah pelancaran Batik Bunga Lado, batik bercorak bunga rasmi Negeri Sembilan yang diangkat sebagai simbol baharu negeri, di samping pertandingan permainan tradisional Porpatih Chelen, yang menghidupkan kembali elemen riadah warisan dalam kalangan pengunjung muda.
Selain himpunan warisan, festival ini turut menampilkan 13 reruai pameran jabatan kerajaan dan 15 khemah jualan produk tempatan yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menjadikan ia sebagai platform ekonomi dan informasi buat para pengunjung.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah YBrs. Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Puan Siti Zulaikha binti Rosman Zahri, Penolong Kurator Unit Adat Perpatih, serta barisan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan yang memainkan peranan penting dalam penganjuran festival bersejarah ini.