
SEREMBAN, 8 Okt – Persiapan bagi penganjuran Perpatih Fest 2025 kini berada dalam keadaan siap sedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Festival tahunan yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober 2025 di Serambi @MoTAC, Muzium Negeri, Seremban itu dijangka menjadi antara acara warisan dan pelancongan terbesar di Negeri Sembilan tahun ini.
Dalam lawatan kerjanya ke tapak karnival petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli menyatakan rasa puas hati terhadap perkembangan persiapan yang dilakukan oleh penganjur, termasuk pemasangan struktur pentas utama, tapak pameran, ruang demonstrasi masakan serta perkampungan budaya masyarakat Orang Asli dan Luak Adat.
Menurut beliau, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak terlibat – termasuk Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Unit Adat Perpatih, agensi kerajaan, para sukarelawan dan komuniti setempat – mencerminkan semangat kolektif rakyat dalam menjayakan acara yang membawa identiti negeri beradat ini ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Saya melihat sendiri hasil kerja yang begitu kemas dan tersusun. Semua jabatan dan pihak yang terlibat menunjukkan tahap kesediaan yang membanggakan. Ini bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi lambang perpaduan dan jati diri rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Perpatih Fest 2025 yang bertemakan “Adat Dihayati, Warisan Dilestari” menyajikan lebih 15 acara utama, antaranya Seminar Antarabangsa, Forum Perdana, Malaysia Book of Records (MBR), Malam Gala Perpatih, Demonstrasi Masakan Tradisional, Perkampungan Budaya Orang Asli, Pertandingan Pakaian Tradisional dan Ghentak Balai, Perpatih Tech Summit 25, serta Karnival Masakan Rentas Negeri.
Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan budaya daripada pelbagai kaum seperti masyarakat Cina, India dan Orang Asli, selain mencuba pelbagai makanan tradisional hasil air tangan komuniti Luak dan Wilayah Adat Negeri Sembilan.
Festival yang memasuki tahun ke-25 ini bukan sahaja menjadi wadah memperkenalkan adat perpatih kepada masyarakat umum, malah turut berperanan sebagai platform pendidikan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Antara pengisian menarik termasuk aktiviti berkampung anak muda, di mana mereka didedahkan secara langsung kepada sistem adat, nilai warisan, serta struktur sosial masyarakat beradat melalui bimbingan terus daripada tokoh-tokoh adat dan pemimpin komuniti.
Dengan lokasi strategik di pusat bandar Seremban serta promosi meluas sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, Perpatih Fest 2025 dijangka menjadi acara kemuncak warisan tahun ini.
“Ayuh! Moh dogheh kito pakat ghamai-ghamai ko Perpatih Fest 2025!” – satu seruan yang bukan sekadar ajakan, tetapi lambang kecintaan terhadap warisan negeri yang terus dipelihara untuk generasi akan datang.