PIALA F&N MAGNOLIA B-12: SK SERDANG UPM MUNCUL JUARA

0
31

KUALA SELANGOR, 16 Okt – SK Serdang UPM mencipta sejarah apabila muncul juara sulung Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Piala F&N Magnolia yang berakhir di Padang SK Bandar Baru di Kuala Selangor hari ini.

Perjuangan selama tiga hari nyata menghadirkan kenangan manis buat SK Serdang UPM untuk dinobat sebagai juara.

Pada perlawanan akhir, SK Serdang UPM berdepan SK Taman Melati dan mereka berterima kasih kepada Muhammad Arif Mohd Radzuan yang menjadi watak penting untuk pasukan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-18.

“Kami sangat gembira dinobatkan sebagai pemenang pertama Piala Magnolia. Ia adalah satu pencapaian bersejarah. Kami berharap kejohanan ini akan diteruskan lagi tahun depan kerana ia adalah saluran yang baik untuk pemain muda kami,” kata ketua jurulatih SK Serdang UPM, Muhammad Amir Fiqrie.

“Dalam perlawanan akhir hari ini, kami terpaksa mengubah strategi permainan kami kerana tiga pemain utama mengalami kecederaan. Tetapi, kami masih berjaya menewaskan pasukan lawan dan para pemain juga telah mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang kejohanan ini.

“Kejohanan ini tidak mudah kerana kami menentang juara Daerah. Ia sangat kompetitif dan kami berharap dapat mengambil bahagian lagi tahun depan.”

Dalam pada itu, SK Putrajaya Presint 9 (2) menduduki tempat ketiga selepas menewaskan SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa permainan sebenar.

Kejohanan tiga hari itu menghimpunkan juara-juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu yang menampilkan 16 pasukan kesemuanya.

Pasukan-pasukan ini dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sepasukan.

Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

KEPUTUSAN

Perlawanan akhir

SK Taman Melati 0-1 SK Serdang UPM

Tempat ketiga/keempat

SK Putrajaya Presint 9 (2) 0 (3) – 0 (1) SK Sultan Hisamuddin Alam Shah

 

About The Author