KULAI,18 Okt – SMK Taman Desa Skudai dan Akademi Mokhtar Dahari akan membuat perhitungan di pentas final bagi merebut trofi kejohanan bolasepak Piala Liga Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun 2025 dengan rakan strategik 100PLUS selepas melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing di separuh akhir pada Rabu.
Aksi kedua-dua pasukan cukup sengit pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Kulai, Johor itu yang menyaksikan tuan rumah SMK Taman Desa diikat dua sama oleh SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman selepas tamat masa perlawanan sebenar.
Pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan deras Muhd Wafiyuddin Lukman pada minit ke-12 untuk mendahului 1-0.
Begitupun, tuan rumah tidak goyah, sebaliknya tenang menyusun gerakan dan menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan Faiz’zin Naqibbin Mohd Faizal Amrie pada minit ke-26.
Asakan bertali arus anak didik Rodolfo Pereda Villa nyata membuahkan hasil apabila giliran SMK Taman Desa meledak gol kedua, sekaligus mendahului 2-1 di minit ke-57 menerusi jaringan Muhd Farish Haqiem Muhd Azharuddin.
Tekanan semakin memuncak untuk SMK Tunku Anum apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhd Ammar Amsyar Muhd Suhaimi dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan.
Namun, tuah seakan-akan memihak kepada mereka apabila 30 saat sebelum tamat perlawanan, Muhd Zunur Amin Shukri berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan terikat 2-2, sekaligus mengheret permainan ke masa tambahan.
Afief Syamiel Aidilazhar muncul wira SMK Taman Desa apabila menjaringkan gol kemenangan untuk keputusan penuh memihak tuan rumah 3-2.
Mengulas tentang perlawanan, Rodolfo memuji semangat juang yag dipamerkan oleh SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan turut berbangga dengan kebangkitan yang dipamerkan anak didiknya.
“Dua gol yang dijaringkan pasukan lawan menerusi set piece, mereka melakukannya dengan baik. Pada padangan saya, kami bermain dengan baik secara keseluruhannya tetapi perkara seperti ini boleh berlaku dalam setiap perlawanan.
“Jika mereka merasakan selesa kerana memiliki kelebihan seorang pemain, ia tidak memberi sebarang kesan, kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan gol.
Mengulas aksi final, beliau tidak melihat ulangan final tahun lalu akan kembali berulang, sebaliknya Rodolfo melihat pasukannya memiliki keyakinan dan kualiti yang berbeza seperti yang telah dipamerkan barisan pemainnya sepanjang musim ini.
“Apa yang penting, para pemain tetap fokus dan bermain dengan baik ketika di final nanti, ia pasti akan menjadi perlawanan yang hebat,” kata Rodolfo Pereira.
Sementara itu, pengendali SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Mohd Azizi Abdul Aziz berpuashati dengan pencapaian pasukan untuk musim ini terutama beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir.
“Saya perlu bagi kredit kepada semua pemain kerana mereka bermain dengan10 pemain selama 20 minit. Ekoran kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan kami, maka pasukan lawan berjaya menjaringkan gol kemenangan,” jelas Mohd Azizi yang ternyata puas dengan pencapaian skuad kendaliannya musim ini.
Menanti SMK Taman Desa Skudai di final nanti adalah skuad B-14 Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menundukkan SMK Seksyen 11 3-1.
Ahmad Muzakif Fitri Muihamad dan Muhd Ima Luthfi Zairol Hisham meletakkan AMD B-14 2-0 hasil jaringan pada minit ke-21 dan 41.
Namun Muhd Aqmar Danish Kamarizuan merapatkan jurang 1-2 untuk SMK Seksyen 11 pada minit ke-43.
Muhd Afiq Akram Yusni memastikan kemenangan mutlak AMD B-14 dengan gol ketiga di minit ke-67 untuk menjadikan keputusan muktamad 3-1.