MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
20

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan busana tradisional masyarakat Sabah serta Sarawak ke pentas antarabangsa.

Penganjuran acara yang dijadual berlangsung pada 11 Jun depan itu turut menjadi platform memperkenalkan kekayaan budaya lebih 27 etnik peribumi Borneo yang masih kurang dikenali masyarakat luar.

Pengasasnya, Sabrina Chiang berkata, identiti budaya Malaysia sering dikaitkan dengan Kebaya Nyonya, Baju Kurung dan Baju Melayu sedangkan masyarakat Borneo turut memiliki keunikan budaya tersendiri yang sangat bernilai.

Menurut beliau, masih ramai belum mengenali budaya etnik seperti Iban, Kenyah, Punan, Kadazan dan pelbagai lagi kaum di Sabah serta Sarawak yang kaya dengan seni warisan serta adat tradisi.

“Miss Borneo diwujudkan dengan harapan untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada budaya masyarakat Borneo yang selama ini kurang diketengahkan di peringkat antarabangsa.

“Kami mahu dunia melihat bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai identiti budaya yang unik, bukan sahaja melalui pakaian tradisional tetapi juga seni tari, kraftangan dan nilai warisan masyarakatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Diamond Crown Agency dan Taylor Universiti Taylor’s di Club 58, TRX pada Selasa .

Turut hadir Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Kapten Mahadzir Mansor serta Eksekutif Dekan Fakulti Inovasi dan Teknologi Universiti Taylor’s, Profesor Dr. Law Chung Lim.

Menerusi kerjasama strategik itu, pelajar fakulti reka bentuk fesyen universiti berkenaan akan menghasilkan lima kostum nasional berinspirasikan budaya Sarawak untuk diperagakan pada malam akhir pertandingan.

Sabrina berkata, busana tradisional masyarakat Borneo mempunyai identiti tersendiri menerusi corak tenunan, aksesori, motif dan elemen warisan yang jarang diketengahkan dalam acara fesyen arus perdana.

Katanya, pertandingan tersebut turut menampilkan persembahan tarian tradisional etnik Sabah dan Sarawak bagi memberi pengalaman lebih dekat kepada penonton mengenai budaya asli Borneo.

Malam kemuncak Miss Borneo Antarabangsa 2026 akan berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur pada 11 Jun depan dengan pelbagai pengisian budaya dan persembahan kostum eksklusif.

Dalam perkembangan sama, Mahadzir menyifatkan sektor pelancongan masa kini tidak lagi tertumpu kepada aktiviti santai semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai industri bernilai tinggi yang berkait rapat dengan gaya hidup dan kesejahteraan.

Beliau berkata, Miss Borneo Antarabangsa 2026 mampu menjadi jambatan yang menghubungkan kecantikan, budaya dan peluang ekonomi dalam usaha memperkukuh imej Malaysia di mata dunia.

Tambahnya, industri kesejahteraan dan kecantikan kini berkembang pesat dengan nilai pasaran mencecah AS$150 bilion setahun sekali gus membuktikan potensinya sebagai sektor ekonomi utama negara.

“Pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan tinggi terhadap produk kecantikan, kesejahteraan, kecergasan serta pelancongan kesihatan yang semakin mendapat perhatian global.

“Kecantikan kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian, manakala pelancongan kesihatan pula membuka peluang ekonomi bernilai tinggi kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Chung Lim berkata, kerjasama bersama Diamond Crown Agency memberi peluang terbaik kepada pelajar untuk merasai sendiri pengalaman industri sebenar dalam bidang fesyen dan kreativiti budaya.

Menurutnya, penglibatan dalam acara bertaraf antarabangsa seperti Miss Borneo Antarabangsa 2026 membantu pelajar mengembangkan bakat serta mengaplikasikan pembelajaran akademik secara praktikal.

Beliau berkata, segmen kostum nasional bukan hanya berkisar tentang fesyen, sebaliknya menjadi medium memperkenalkan identiti dan warisan budaya Malaysia kepada masyarakat dunia.

Katanya, lima kostum yang dihasilkan kelak akan disumbangkan kepada muzium di Kuala Lumpur, Melaka, Sabah dan Sarawak sebagai usaha memelihara warisan budaya negara.

“Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang kami praktikkan turut diperkukuh menerusi kerjasama industri seperti ini selain membantu pembangunan bakat kreatif masa depan.

“Kami juga menghargai sokongan MiTDA dan pihak penganjur dalam menjayakan inisiatif yang membawa nilai budaya dan pendidikan ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai Miss Borneo Antarabangsa 2026 masih boleh mendaftar dengan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 25 Mei ini.

 

About The Author