MERIAHKAN SELERA DAN SOKONG PENJAJA TEMPATAN DI FESTIVAL MAKAN @ AMPANG 2025

0
22
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari

AMPANG JAYA, 14 Nov –   Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menganjurkan Festival Makan @ Ampang sempena sambutan Hari Penjaja Selangor 2025, yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November 2025 bertempat di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah. Festival ini bertujuan untuk meraikan serta mengiktiraf peranan penting penjaja dan peniaga kecil dalam membangunkan ekonomi tempatan.

Program ini dijangka menjadi tumpuan ramai apabila pelbagai vendor makanan dan minuman dari seluruh daerah Ampang Jaya berkumpul di satu lokasi. Pengunjung berpeluang menikmati aneka juadah dari pelbagai budaya – daripada sajian tradisional seperti nasi lemak dan satay, hingga makanan moden seperti burger, takoyaki dan minuman boba.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, penganjuran festival ini merupakan usaha MPAJ untuk memperkasakan sektor penjaja yang menjadi tulang belakang ekonomi komuniti. Beliau menekankan bahawa program sebegini memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk memperluaskan capaian mereka kepada masyarakat umum.

“Penjaja memainkan peranan besar dalam menjana ekonomi rakyat. Festival ini bukan sahaja mengiktiraf sumbangan mereka, malah membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.

Tambah beliau, festival ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan komuniti dan selari dengan visi MPAJ ke arah pembangunan bandar yang mesra rakyat dan mampan. Ia bukan hanya sebuah acara ekonomi, malah juga sosial yang mendekatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Lebih menarik, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan bagi menceriakan suasana sepanjang festival, antaranya Pertandingan Karaoke Terbuka yang bakal menarik perhatian pengunjung dari pelbagai peringkat umur yang ingin menonjolkan bakat nyanyian masing-masing.

Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga, tersedia juga Mini Karnival lengkap dengan permainan interaktif dan aktiviti santai untuk kanak-kanak serta remaja. Festival ini pasti menjadi lokasi hujung minggu yang menyeronokkan buat seisi keluarga.

MPAJ menjemput seluruh warga Ampang Jaya dan kawasan berdekatan untuk hadir memeriahkan Festival Makan @ Ampang. Program ini bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga wadah menyemai semangat #RakyatHarmoniAmpangSejahtera dan menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.

 

About The Author