HAMPIR 250 PESERTA SAH SERTAI KUALA PILAH MTB HERITAGE CHALLENGE

0
87

KUALA PILAH, 16 Okt – Kuala Pilah MTB Heritage Challenge 2026 mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 250 peserta mengesahkan penyertaan setakat hari ini, selepas hanya empat hari pendaftaran dibuka, sekali gus menghampiri separuh daripada sasaran 500 peserta.

Program yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini di Padang Awam Seri Menanti itu turut menarik penyertaan dari Johor, Melaka, Selangor, Perak, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu, selain wakil dari Singapura serta Indonesia.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin berkata, program bertemakan ‘Exploring Pilah’ itu menyediakan 13 kategori kepada peminat sukan berbasikal.

Menurut beliau, penganjuran tersebut menjadi platform memperkenalkan tarikan Kuala Pilah, khususnya Seri Menanti, selain membawa peserta menikmati panorama kawasan berbukit dan suasana perkampungan sepanjang laluan kayuhan.

“Program ini diharap dapat menggalakkan peserta bersama ahli keluarga mengunjungi tarikan pelancongan setempat serta mengenali warisan budaya dan kehidupan masyarakat daerah ini.

“Pada masa sama, kehadiran mereka diharap memberi limpahan ekonomi kepada komuniti menerusi perbelanjaan penginapan, makanan dan pembelian produk tempatan,” katanya.

Antara pasukan yang mengesahkan penyertaan ialah Nilai Cycling Team, Geng Kayuh Nusari (GKN), GKAB, Putra MTB Team, Sembang Cycling Team, Parit King Cyclist, Mapuh Cyclist, Bikelabz, Pekan Nanas Bikers, ZR Racing Team dan TRR (Team Retain & Regain).

Turut tersenarai ialah Lizard SRC, Jengking Cycling Club, Kelemboy Crankers, Red Antz, Lukut MTB, Dodol Racing Team, After Office Ride Putrajaya, MDKP Cycling Team dan KBS Adventure, selain penyertaan atas nama PDRM, TRADOC serta peserta persendirian.

Acara yang berlangsung pada hari Sabtu itu menawarkan cabaran kayuhan sejauh kira-kira 35 kilometer merentasi jalan raya, kawasan berbukit dan perkampungan, sekali gus menguji ketahanan fizikal peserta sambil menikmati keindahan alam serta warisan tempatan.

Hadiah wang tunai hampir RM20,000 disediakan bagi pemenang tempat pertama hingga kelima mengikut kategori yang dipertandingkan, manakala hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM10,000 turut ditawarkan.

Pendaftaran masih dibuka dengan yuran awal RM70, manakala kadar biasa ditetapkan sebanyak RM80.

Pelbagai acara sampingan turut disediakan, antaranya pertandingan memancing, aktiviti memanah, persembahan basikal BMX dan pameran agensi bagi memeriahkan program serta menarik kehadiran keluarga peserta dan orang ramai.

Nawal berkata, pihaknya berhasrat menjadikan Kuala Pilah MTB Heritage Challenge sebagai acara kayuhan tahunan yang selamat, berdaya saing dan memberi manfaat kepada komuniti serta sektor pelancongan daerah.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara agensi, komuniti, penaja dan rakan strategik bagi menjayakan program, sekali gus memperkukuh kedudukan Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan, alam dan warisan.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://forms.gle/wxFguXg6n39Nsh4H9.

 

About The Author