PERTANDINGAN MEMANCING AHAD INI MERIAHKAN TASIK AYER KEROH

0
58

MELAKA, 18 Okt – Tasik Ayer Keroh bakal menjadi tumpuan kaki pancing apabila pertandingan memancing Gegar Joran Melaka 2026 berlangsung Ahad ini, sekali gus menyemarakkan pelancongan rekreasi negeri Melaka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, penganjuran kali kedua itu menjadi platform memperkenalkan Tasik Ayer Keroh sebagai destinasi riadah pilihan kepada pengunjung dari dalam dan luar negeri berkenaan.

Menurutnya, pertandingan tersebut bukan sahaja menghimpunkan komuniti pemancing, malah berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada peniaga serta pengusaha pelancongan di kawasan sekitar menerusi kehadiran peserta bersama keluarga.

“Melaka mempunyai banyak tarikan pelancongan dan kita mahu Tasik Ayer Keroh turut dikenali sebagai destinasi pilihan kaki pancing. Program seperti ini diharap dapat menjadi satu lagi produk pelancongan rekreasi yang mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran itu turut menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menggalakkan pelancongan domestik apabila pengunjung berpeluang menikmati makanan, penginapan serta pelbagai tarikan berhampiran selepas pertandingan.

Sebagai persediaan menjelang pertandingan, hampir 100 kilogram ikan baung tempatan dengan berat setiap ekor satu kilogram ke bawah, bersama 10,000 ekor benih ikan lampam sungai, terbul dan sebarau telah dilepaskan ke Tasik Ayer Keroh pada Selasa lalu bagi menambah stok ikan tempatan serta membantu memulihara ekosistem tasik berkenaan.

Selain suasana tenang dan dikelilingi kehijauan, tasik tersebut turut dihuni pelbagai spesies seperti patin, keli, toman, haruan, ikan raja dan tilapia yang dijangka menguji kemahiran peserta. Pertandingan anjuran bersama MPHTJ dan Nadi Media Events itu berlangsung pada Ahad, 18 Oktober, dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari dengan yuran RM40 bagi satu joran menggunakan maksimum dua mata kail.

Juara bakal membawa pulang RM4,000, diikuti naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM500, manakala pemenang tempat keempat hingga ke-80 masing-masing menerima RM70. Hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta.

Sapiah turut menyeru peminat memancing supaya tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan Ahad ini dan berharap Gegar Joran Melaka terus berkembang sebagai acara tahunan yang sinonim dengan Tasik Ayer Keroh.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan dengan menghubungi pihak penganjur menerusi talian 013-266 7011, 012-355 4946, 012-284 6811 atau 012-370 1717.

About The Author