SEPANG, 22 Dis – Pendekatan berani kontinjen Malaysia yang tidak meletakkan sasaran pingat secara tepat dianggap sebagai memberi kesan positif di Sukan SEA Thailand, namun kejayaan itu perlu diterjemahkan kepada perancangan lebih strategik menjelang Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung di tanah air.
Malaysia menamatkan temasya Sukan SEA 2025 dengan meraih 231 pingat keseluruhan, termasuk 57 pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal 200 pingat yang ditetapkan sebelum kejohanan bermula.
Pencapaian itu lebih bermakna apabila ia diraih dalam fasa peralihan generasi, dengan 39 peratus atlet membuat penampilan sulung, manakala 43 peratus terdiri daripada atlet muda, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai landskap baharu sukan negara.
Ketua kontinjen negara (CDM), Nurul Huda Abdullah menyifatkan strategi tanpa tekanan angka sebagai antara faktor utama yang melonjakkan keyakinan atlet sepanjang kejohanan.
Menurut beliau, kebebasan berkenaan membolehkan atlet mencabar had keupayaan sendiri tanpa dibelenggu beban sasaran pingat semata-mata.
“Apabila atlet fokus kepada prestasi dan proses, keputusan yang hadir selalunya lebih baik daripada jangkaan,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Huda menegaskan bahawa pendekatan tersebut perlu diperkemaskan menjelang Sukan SEA 2027 dengan memperkenalkan sasaran prestasi berlapis, termasuk penilaian berdasarkan peningkatan rekod peribadi, konsistensi dan pencapaian skuad bagi setiap acara.
Pendekatan itu dilihat lebih realistik untuk mengukur kemajuan sebenar atlet tanpa menjejaskan aspek psikologi, terutama dalam kalangan atlet muda.
Malah, status Malaysia sebagai tuan rumah dua tahun lagi turut memerlukan perancangan yang lebih strategik agar kelebihan venue, jadual pertandingan dan sokongan penonton dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Pengurusan sukan dijangka memberi penekanan kepada acara teras yang menjadi kekuatan tradisi negara, selain menyediakan simulasi pertandingan lebih awal di venue sebenar bagi membiasakan atlet dengan persekitaran dan tekanan pertandingan.
Kejayaan atlet muda seperti Muhammad Yassin Syahrizan yang muncul atlet paling muda kontinjen negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara pelayaran, turut membuka perbincangan mengenai keperluan laluan pembangunan yang lebih jelas dan tersusun.
Program pembangunan khusus selama 24 bulan bagi atlet muda berpotensi pingat dijangka menjadi fokus, termasuk pendedahan kejohanan antarabangsa berkualiti dan sistem sokongan sains sukan yang lebih agresif.
Walaupun Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan, Nurul Huda menegaskan pencapaian di Thailand hanyalah platform penilaian awal, bukannya kemuncak prestasi.
Setiap sukan akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, terutama dalam memastikan atlet pelapis mampu menyumbang secara konsisten di pentas serantau.
Beliau menegaskan momentum kejayaan di Thailand perlu diteruskan dengan perancangan rapi dan berpandangan jauh agar Malaysia mampu tampil lebih bersedia sebagai tuan rumah.
“Kita sudah ada asas yang kukuh. Cabaran seterusnya ialah menstrukturkan kejayaan ini supaya ia memberi impak jangka panjang,” katanya. – sk












