SAFEE MAHU ANJUR KEJOHANAN AKAR UMBI ANTARABANGSA

0
42

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali tidak mahu ‘duduk diam’ bagi membangunkan bakat cilik apabila memasang impian untuk menganjurkan pertandingan akar umbi di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Idea tersebut tercetus susulan sambutan amat menggalakkan dalam saingan MommyHana Safee Sali Super Kids Cup 2025 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana pada Sabtu.

“Sambutan pada kejohanan ini memberi lebih semangat buat saya untuk terus terbabit dengan pogrampogram akar umbi dan saya akan terus mencurahkan pengalaman saya untuk mempekasakan pembentukan pemain-pemain muda berkualiti.

“Insya-Allah mungkin selepas ini akan ada perancangan mengadakan perancangan lebih besar, mungkin akan ada saingan Antarabangsa Safee Sali Super Kids Cup,” katanya ketika ditemui media sempena majlis pelancaran MommyHana Safee Sali Super Kids Cup 2025.

Sebanyak 32 pasukan berasaing dalam kejohanan berbentuk karnival ini yang membabitkan lapan pasukan berentap dalam kategori bawah lapan, 10, 12 dan 14 tahun untuk edisi kali ini yang menawarkan jumlah hadiah kemenangan sebanyak RM5,200.

Di sebalik cadangan penganjuran kejohanan lebih besar, Safee berharap agar lebih banyak sektor korporat dan agensi kerajaan tampil memberikan sokongan terhadap penganjuran kejohanan akar umbi pada masa hadapan.

“Saya harap ada bantuan dan sokongan sepenuhnya daripada syarikat-syarikat lain dan sektor swasta untuk memperkasakan sistem akar umbi bola sepak kita. Selepas ini, sudah tentu saya ada mungkin ada kerjasama dengan pasukan-pasukan negara ASEAN yang lain untuk bermain di sini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MommyHana selaku penaja utama kejohanan serta MPAJ atas sokongan padu dalam memastikan kelancaran penganjuran acara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MommyHana sebagai penaja yang percaya kepada pembangunan bola sepak akar umbi, serta MPAJ yang sentiasa memberi sokongan dari segi fasiliti dan kerjasama,” tambahnya.

MommyHana Safee Sali Super Kids Cup 2025 menghimpunkan pasukan-pasukan akademi dan kelab bola sepak kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur, selain kemeriahan suasana karnival dan aktiviti mesra keluarga.

About The Author