BAZAR CNY 2026 DI GENTING HIGHLANDS JADI PEMACU BAHARU JENAMA HALAL TEMPATAN

0
172

GENTING HIGHLANDS, 18 Feb – Penganjuran Chinese New Year Bazar 2026 di Madison Square, Resorts World Genting tampil dengan pendekatan berbeza.

Ia bukan sahaja memeriahkan suasana perayaan, malah menjadi platform strategik memperkukuh kedudukan usahawan halal dalam industri pelancongan.

Berlangsung selama hampir tiga minggu bermula Jumaat lalu hingga 3 Mac depan, festival itu menghimpunkan pelbagai pengusaha makanan dan minuman, produk gaya hidup serta pemain industri halal dalam satu ekosistem yang memberi impak besar kepada perkembangan jenama tempatan.

Acara anjuran Zada Event Management dengan kerjasama Pasar Eatai dan CP Ventures itu membuka ruang kepada vendor tempatan menembusi pasaran lebih luas melalui kehadiran pelancong yang sentiasa memenuhi pusat peranginan terkenal tersebut.

Pengasas Zada Event Management, Steven Idris berkata, penganjuran bazar berkenaan dirangka sebagai sebuah platform pembangunan perniagaan dan bukannya sekadar acara jualan bermusim.

“Ini bukan hanya bazar perayaan. Kami mahu ia menjadi ruang untuk usahawan halal berkembang, membina jaringan dan memperkenalkan produk mereka kepada audiens yang lebih besar dalam suasana pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, faktor lokasi di Genting Highlands memberi kelebihan kerana aliran pengunjung yang tinggi terutama pada musim cuti dan hujung minggu membantu meningkatkan potensi jualan serta promosi jenama.

“Interaksi secara langsung dengan pelancong luar memberi peluang kepada vendor memperkenalkan konsep halal kepada pasaran global secara lebih dekat dan autentik,” ujarnya.

Festival itu turut menampilkan pelbagai pilihan makanan jalanan moden, sajian pencuci mulut popular serta hidangan berinspirasikan kulinari Muslim antarabangsa yang menepati cita rasa pelbagai kaum.

Pada masa sama, pelbagai persembahan pentas, aktiviti interaktif dan program kekeluargaan disusun bagi menjadikan lokasi tersebut sebagai destinasi riadah dan gaya hidup sepanjang musim perayaan.

Steven turut menekankan bahawa pendekatan halal kini semakin berkembang sebagai satu gaya hidup yang merangkumi aspek budaya, komuniti dan pelancongan, bukan lagi tertumpu kepada makanan semata-mata.

“Kerjasama strategik bersama rakan industri yang terlibat mampu melahirkan model perniagaan baharu sekali gus memperluas jaringan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Orang ramai boleh mengunjungi festival tersebut setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 11 malam sepanjang tempoh penganjuran bagi menikmati pengalaman membeli-belah, menjamu selera dan berhibur sambil menyokong produk usahawan halal tempatan.

About The Author