SUKMA SELANGOR 2026 DITERUSKAN, PENGANJURAN LEBIH BERHEMAH SUSULAN CABARAN EKONOMI

0
31

PUTRAJAYA, 9 April – Di sebalik tekanan ekonomi global dan peningkatan kos semasa, temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 tetap akan berlangsung seperti yang dirancang, dengan pendekatan penganjuran yang lebih berhemah dan menjimatkan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari, berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Menurut beliau, temasya dwitahunan itu akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, namun pelaksanaannya akan disesuaikan dengan realiti ekonomi semasa tanpa mengabaikan objektif utama pembangunan sukan negara.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan meneruskan temasya berkenaan kerana banyak negeri sudah membelanjakan kos awal bagi latihan atlet, penginapan kontinjen dan persiapan logistik.

“Meneruskan penganjuran adalah keputusan paling praktikal ketika ini kerana pembatalan hanya akan menambah beban kewangan kepada banyak pihak yang sudah membuat persiapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, konsep penganjuran kali ini memberi penekanan kepada penggunaan sumber secara optimum dengan mengurangkan elemen yang tidak kritikal, terutama dari sudut acara protokol dan persembahan rasmi.

Majlis pembukaan, misalnya, akan diadakan dalam bentuk lebih sederhana bagi memastikan peruntukan dapat difokuskan kepada perkara yang lebih penting seperti fasiliti pertandingan dan kebajikan atlet.

“Apa yang kita jimatkan bukan pada mutu pertandingan, tetapi pada elemen sampingan yang tidak memberi kesan langsung kepada prestasi atlet,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek pembangunan atlet, persediaan jurulatih serta standard teknikal setiap acara kekal menjadi keutamaan utama penganjur.

Menurutnya lagi, SUKMA Selangor 2026 turut dilihat sebagai medan persiapan penting sebelum Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

Jelas beliau, beberapa pendekatan pengurusan kos yang bakal digunakan pada temasya kali ini boleh dijadikan model awal untuk penganjuran temasya lebih besar pada tahun hadapan.

Sebelum ini, kerajaan Selangor mengakui kenaikan kos operasi akibat lonjakan harga bahan api dan kesan ketidaktentuan ekonomi global menjadi cabaran utama dalam perancangan temasya berkenaan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi, turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan KBS bagi memastikan SUKMA 2026 berjalan lancar serta kekal mencapai standard yang ditetapkan. – SK

About The Author