TIGA PENAMAT PUNCAK BUKIT ‘SAMBUT’ PARA PELUMBA LTDL 2026

0
34

PUTRAJAYA, 25 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menganjurkan edisi ke-30 jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2026 yang dijauslkan berlangsung pada 27 September hingga 4 Oktober depan.

Majlis Sukan Negara (MSN) kekal selaku penganjur selepas penganjuran cemerlang menerusi tiga edisi sebelum ini.

LTDL 2026 akan menjelajah ke lapan negeri di semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer.

Ulangtahun ke-30 LTDL juga menyajikan cabaran laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran apabila tiga penamat di puncak bukit disajikan sebagai igauan setiap pelumba yang bakal hadir bersaing kali ini.

Pendakian Gunung Jerai diperkenalkan buat pertama kali di Peringkat Kedua iaitu dari Taiping ke puncak Gunung Jerai.

Walaupun pendakian dilabelkan sebagai pendakian Kategori 1, namun permulaan mendaki dari paras laut di kaki gunung ke ketinggian menghampiri 1,000 meter pasti menjanjikan permulaan yang cukup mencabar pada edisi kali ini.

Hasrat untuk mengulangi memori ‘back to back climb’ membabitkan Cameron Highlands dan Genting Highlands yang cuma pernah diadakan dua kali sebelum ini pada tahun 2001 dan 2011 dapat direalisasikan tahun ini selepas menerima lampu hijau daripada pihak pengurusan Resort World Genting untuk pelumba-pelumba kembali menawan puncak sukar di Genting Highlands tahun ini.

Ia juga jadi berita gembira buat peminat tegar LTDL yang menantikan tradisi sambutan luar biasa di Genting Highlands pada peringkat kelima edisi kali ini.

Penamat peringkat keempat di Cameron Highlands juga lebih mencabar kerana permulaan pendakian dari Tapah menuju ke Tanah Rata jelas lebih sukar berbanding pendakian melalui Simpang Pulai pada dua edisi sebelum ini.

KBS juga mengharapkan prestasi lebih baik daripada pelumba-pelumba negara yang bertanding di LTDL 2026, mewakili tiga pasukan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan juga Pasukan Kebangsaan Malaysia.

Kejayaan Nur Aiman Rosli (TSG) menguasai kedudukan podium tempat kedua di penamat peringkat ketujuh LTDL 2025 hasil kayuhan “breakaway” luarbiasa seharusnya mampu diulangi, sekiranya pelumba-pelumba Malaysia membuat persediaan cukup rapi untuk perlumbaan pada September nanti.

Semua 20 pasukan yang dijemput daripada kategori World Team, ProTeam, Continental Team dan pasukan kebangsaan juga sudah mengesahkan penyertaan masing-masing sebelum acara pelancaran LTDL 2026 disempurnakan pada hari ini.

 

About The Author