LIGA MENTERI PENDIDIKAN-100PLUS B-14: TIGA PASUKAN SAHKAN TEMPAT KE SUKU AKHIR

0
29

SKUDAI, Johor, 19 Julai – Saingan Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan-100PLUS B-14 2026 semakin menghampiri kemuncak apabila aksi pada Sabtu (semalam) memperlihatkan beberapa keputusan penting bagi menentukan kedudukan pasukan dalam saingan peringkat kumpulan masing-masing.

Tiga pasukan, SMK Seri Titiwangsa, SMK Shah Alam dan SMK Taman Desa Skudai berjaya mengesahkan slot ke pusingan suku akhir.

Saingan peringkat Kumpulan B menyaksikan pasukan pelawat SMK Seri Titiwangsa meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan SMK Taman Desa Skudai B-14 B 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

Mazazayyan Mahdi muncul wira apabila meledak dua gol dalam perlawanan tersebut manakala satu lagi gol dijaringkan Muhd Zill Zulkarnain Mohd Zamri.Gol tunggal tuan rumah dijaringkan G. R. Yohgiin.

Pembantu Jurulatih SMK Seri Titiwangsa, Mohd Norfaizal Alias berkata: “Selepas pasukan lawan menjaringkan gol, pemain-pemain nampak gugup. Jurulatih kami mengarahkan apa yang perlu dilakukan termasuk menukar pemain dan taktikal untuk separuh masa kedua.

“Memang satu kelegaan yang besar kerana kita menang kesemua tiga perlawanan dan berbaki satu lagi, jadi kita sudah ada kelebihan mata.”

SMK Seri Titiwangsa mengesahkan tempat ke suku akhir dengan mengumpul sembilan mata.

SMK Taman Desa Skudai B-14 B, SMK Seksyen 11 dan SMK Putrajaya Presint 8 (1) masing-masing mengumpul tiga mata manakala SMK Mutiara tanpa sebarang mata.

Sementara itu di Kluang, juara bertahan SMK Taman Desa Skudai turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas mendominasi saingan Kumpulan C.

Skuad kendalian Rodolfo Pereda Villa membelasah SMK Tun Hussien Onn 4-0 untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut.

M. Hadif Mursi Mohd Hafidz muncul wira apabila meledak dua gol manakala Muhd Shahin Amsyar Muhd Safarizan dan Muhd Aqil Khalish Shaifulbahari turut mencatat nama selaku penjaring.

“Walaupun kami hanya bolos satu gol, bagi saya itu hanyalah angka. Sebenarnya kami boleh sahaja dibolosi tiga atau empat gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini jika tidak lebih berhati-hati.

“Dari aspek pertahanan dan serangan, kami masih boleh menjadi lebih baik. Kami juga percaya mampu menjaringkan lebih banyak gol. Fokus kami sekarang adalah untuk terus meningkatkan prestasi menjelang saingan suku akhir nanti,” Kata Rodolfo.

Satu lagi perlawanan Kumpulan C menyaksikan SMK Seri Kota mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SSTMI, sekali gus melonjak ke tangga kedua dengan sembilan mata.

SMK Seri Kota kini berada di landasan terbaik untuk melangkah ke suku akhir selaku naib juara kumpulan.

Dalam aksi lain kumpulan yang sama, SMK Zaba menewaskan SMK Datuk Peter Mojuntin 1-0 untuk mengumpul lima mata, namun masih perlu menunggu keputusan perlawanan terakhir bagi menentukan peluang mereka meneruskan cabaran.

Kedudukan semasa Kumpulan C menyaksikan SMK Taman Desa Skudai mengungguli carta dengan 12 mata diikuti SMK Seri Kota (9 mata), SSTMI (7 mata), SMK Zaba (5 mata), SMK Tun Hussien Onn (4 mata), SMK Datuk Peter Mojuntin (2 mata) dan Akademi Mokhtar Dahari B13 (1 mata).

Kumpulan A pula menyaksikan SMK Shah Alam terus membuktikan status sebagai antara pencabar utama kejohanan apabila menewaskan SMK Mutiara Impian 2-0 untuk kemenangan keempat berturut turut.

Satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan SMK Syed Hassan dan SMK Gunung Rapat berkongsi mata selepas seri 1-1.

Sementara itu, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas SMK Tabuan Jaya untuk mengumpul tujuh mata dan terus menghidupkan peluang untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Selepas aksi pada Sabtu, kedudukan Kumpulan A menyaksikan SMK Shah Alam mendahului dengan 12 mata diikuti SMK Mutiara Impian (10 mata), manakala SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, SMK Syed Hassan dan SMK Gunung Rapat masing-masing mengumpul tujuh mata dalam persaingan sengit memburu slot suku akhir.

Dalam saingan Kumpulan D, SMK Putera mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Bukit Nenas. sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka untuk menduduki tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata, mengatasi Akademi Mokhtar Dahari B-14 yang mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.

Keputusan ini menjadikan perebutan slot kedua ke suku akhir semakin menarik menjelang aksi terakhir nanti.

Keputusan Perlawanan

Kumpulan A – SMK Syed Hassan 1-1 SMK Gunung Rapat; SMK Shah Alam 2-0 SMK Mutiara Impian; SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman 4-0 SMK Tabuan Jaya

Kumpulan B – SMK Taman Desa Skudai B14 B 1-3 SMK Seri Titiwangsa

Kumpulan C – SMK Tun Hussien Onn 0-4 SMK Taman Desa Skudai; SSTMI 0-1 SMK Seri Kota; SMK Zaba 1-0 SMK Datuk Peter Mojuntin

Kumpulan D – SMK Bukit Nenas 0-1 SMK Putera

About The Author