SHAH ALAM, 26 Julai – Tuan rumah, SMK Shah Alam terus mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengikat SMK Gunung Rapat 1-1 untuk terus berada di tangga teratas kumpulan A Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan-100PLUS bawah 14 Tahun 2026.
Aksi yang berlangsung di padang MBSA Seksyen 28, Shah Alam itu menyaksikan tuan rumah ketinggalan 1-0 selepas Mohamad Hakimi Roshamide terlebih dahulu meletakkan SMK Gunung Rapat di hadapan pada minit ke-56.
Begitupun, Muhammad Adam Zakwan Mohd Rhadzi muncul penyelamat buat SMK Shah Alam menerusi jaringan pada masa kecederaan (70+5′).
Ketua Jurulatih SMK Shah Alam, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham nyata tidak berpuas hati dengan gaya permainan pasukannya, namun tetap lega dengan satu mata.
“Sejujurnya, ini bukan aksi terbaik yang dipamerkan oleh pasukan kami. Biasanya kami mampu beraksi seperti biasa walaupun berada di bawah tekanan, tetapi pada perlawanan tadi selepas kami dibolosi awal, para pemain nampak agak tertekan.
“Sebagai jurulatih, saya hanya meminta mereka supaya kekal tenang. Walaupun persembahan keseluruhannya tidak begitu memuaskan, saya tetap bersyukur kerana kami berjaya meraih satu mata untuk kekal di kedudukan teratas bagi meneruskan misi sebelum menentang SMK Tabuan Jaya, Sarawak,” kata Ekhsan.
Keputusan tersebut, SMK Shah Alam kini kekal di tangga teratas Kumpulan A dengan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri.
SMK Gunung Rapat pula yang mengumpul lapan mata dan terus berusaha untuk bersaing dengan SMK Mutiara Impian yang berada di tangga kedua (10 mata) dalam perebutan untuk menempah slot terakhir kumpulan A ke peringkat suku akhir.
Pembantu Pengurus SMK Gunung Rapat, Mohamad Kamil Hakemi menjelaskan, peluang mereka untuk ke suku akhir masih ada namun bergantung dengan keputusan perlawanan pasukan lain.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain kerana telah memberikan aksi terbaik sepanjang 70 minit perlawanan. Kami mendahului, namun sedikit kealpaan menyebabkan kami terlepas peluang untuk mecatat kemenangan.
“Kami masih ada peluang, tetapi bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain,” kata Kamil.
Sementara itu dalam perlawnan Kumpulan C, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-13 mencatat kemenangan dramatik selepas menundukkan SMK Tun Hussien Onn 3-2.
AMD B-13 selesa mendahului 3-0 menerusi Muhd Rifqi Rayyan Rozaimi pada minit keenam, Muhd Akhmal Hakimi Mohd Azizul pada minit ke-15 dan Ahmad Rifqi Aryan Ahmad Rifa’ie pada minit ke-28.
SMK Tun Hussien Onn merapatkan jurang gol menerusi jaringan Muhammad Syahfiee Fadzil pada minit ke-45 dan ke-67.
Ini merupakan kemenangan pertama AMD B-13 selepas mengharungi empat perlawanan dan mengumpul empat mata.
Pendahulu Kumpulan C, SMK Taman Desa Skudai terus kekal di puncak dengan 12 mata hasil empat kemenangan berturut-turut, diikuti SMK Seri Kota dengan sembilan mata dan SSTMI di tangga ketiga dengan tujuh mata.
Saingan Kumpulan D pula, SMK Bukit Nenas menewaskan SMK Seberang Temerloh 2-0 hasil jaringan Muhammad Danial Hakimi Mohd Azreen pada minit ke-34 dan Muhamad Muadzam Mat Ghani pada minit ke-55.
SMK Ibrahim Fikri pula mencatat kemenangan 2-0 ke atas SMK Kampong Chengal menerusi jaringan Muhammad Faidh Dayyan Mohd Faidhi pada minit ke-35 sebelum Nik Muhd Zulhairy Nik Mohd Zulhusny menambah gol kedua pada minit ke-66.
Kemenangan tersebut membolehkan SMK Ibrahim Fikri memintas SMK Putera selaku pendahulu dan kedua-dua pasukan kini berkongsi tujuh mata.
Bagaimanapun, SMK Putera masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan, manakala Akademi Mokhtar Dahari B-14 berada di kedudukan ketiga dengan enam mata daripada dua perlawanan.
Keputusan Perlawanan (25 Julai)
Kumpulan A: SMK Shah Alam 1–1 SMK Gunung Rapat
Kumpulan C: Akademi Mokhtar Dahari B-13 3–2 SMK Tun Hussien Onn
Kumpulan D: SMK Seberang Temerloh 0–2 SMK Bukit Nenas; SMK Kampong Chengal 0–2 SMK Ibrahim Fikri












