ANDREW YAP, AMIRAH NUR HANANIA JUARA PUSINGAN 1 GOLF REMAJA 100PLUS-MGA

0
23

PUCHONG, 23 Julai – Andrew Yap dan Amirah Nur Hanania Afanizam membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara keseluruhan pada Pusingan 1 Kejohanan Golf 100PLUS Malaysian Golf Association (MGA) National Junior Development Programme (NJDP) bagi kategori lelaki dan perempuan.

Kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Kinrara itu menyaksikan Andrew menamatkan saingan tiga pusingan dengan keseluruhan 219 pukulan enam di atas par (+6).

Beliau menutup hari terakhir dengan catatan 77 pukulan enam di atas par (+6) untuk memastikan namanya dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori lelaki A.

Kemenangan ini memberikan semangat kepadanya untuk meraih lebih banyak keputusan yang positif.

“Saya tidak boleh menyalahkan keadaan padang kerana ia berada dalam keadaan yang sangat baik dan green juga cukup pantas. Bagaimanapun, saya merasakan saya tidak mempamerkan permainan terbaik hari ini dan tidak bermain seperti yang saya harapkan.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Sudah agak lama saya tidak memenangi sebarang kejohanan, kali terakhir adalah pada Oktober tahun lalu. Saya rasa saya benar-benar memerlukan kemenangan ini untuk meningkatkan keyakinan dan kekuatan mental sebagai persediaan menghadapi kejohanan seterusnya, iaitu Sukma,” jelas Andrew.

Tempat kedua kejohanan tersebut menjadi milik Nathan Wong (+18) diikuti Muhd Eiqbal Aisy Mohd Elauddin yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Juara bagi kategori lelaki B menjadi milik Jarvis Liew Zun Xin dengan 229 pukulan 16 di atas par (+16) diikuti Raja Mohd Syakir Raja Mohd Sukry (+18) dan Umar Thaqif Ahmad Assraf dikedudukan kedua dan ketiga.

Bagi kategori perempuan, Amirah Nur Hanania Afanizam turut mempamerkan aksi cemerlang apabila mengumpul 225 pukulan 12 di atas par (+12) untuk muncul juara kategoti Perempuan B sekalugus muncul juara keseluruhan.

Bagi Amirah Nur Hanania, kemenangan ini ibarat melunaskan janji kepada orang tuanya.

“Ini kali pertama saya bermain di kelab Kinrara. Bagi saya, cabaran paling sukar ialah untuk mendapatkan bola mendarat dekat dengan pin kerana green di sini beralun (slopy) dan kebanyakan kedudukan pin diletakkan di kawasan cerun, jadi memang susah untuk melakukan pukulan dengan tepat,” kata Amirah.

Naib juara kategori perempuan B Choi Quinn Cie (+17), manakala Deepika Ganesan (+19) dikedudukan ketiga.

Nurlyana Yasmin Ruzkinain pula mengesahkan status sebagai juara kategori A dengan 228 pukulan keseluruhan lima belas dibawah par (+15) diikuti Amelia Lee dikedudukan kedua dengan enam belas di atas par (+16) dan Adrianna Prewa Sim (+16).

Dua pemain turut mencuri tumpuan apabila mencatat pukulan selubang, Izz Zayani Mohd Irman pada hari pertama dan Che Faidh Amsyar Faizul pada hari ketiga sekaligus bakal menerima tajaan minuman daripada 100PLUS selama setahun.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Perhubungan Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Norazrin Norsyam Yee dan Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Kejohanan ini dilangsung dalam tiga pusingan dan Kelab Golf Kinrara menjadi venue pusingan pertama pada 21-23 Julai.

Pusingan 2 dijadualkan berlangsung di Kelab Golf Permai Pura Sungai Petani, Kedah pada 10-13 Oktober disusuli Kelab Golf A Famosa, Melaka akan menjadi venue bagi Pusingan 3 bermula 7-10 September nanti.

Pusingan Akhir akan berlangsung di Kelab Golf The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada 27 hingga 30 Oktober.

Kejohanan ini menjadi platform buat 30 pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang untuk terpilih ke Kejohanan Terbuka Antarabangsa Remaja Malaysia (Malaysia Junior International Open) yang akan berlangsung pada November tahun ini.

Keputusan Akhir

  1. Andrew Yap (219) – 68; 74; 77
  2. Amirah Nur Hanania Afanizam (225) – 75; 73; 77
  3. Nurlyana Yasmin Ruzkinain (228) – 76; 74; 78
  4. Amelia Lee (229) – 77; 78; 74
  5. Jarvis Liew Zun Xin (229) – 72; 77; 80
  6. Adrianna Prewa Sim (229) – 77; 75; 77
  7. Choi Quinn-Cie (230) – 78; 74; 78
  8. Nathan Wong (231) – 76; 75; 80
  9. Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry (231) – 79; 75; 77
  10. Deepikaa Ganesan (232) – 77; 75; 80

About The Author