TALANG 1.085KG BAWA PULANG RM7,000

0
48
PEMENANG Selangor Surfcasting Challenge 2026 bergambar bersama penganjur selepas majlis penyampaian hadiah di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

KLANG, 10 Ogos – Tuah menaikkan ikan talang seberat 1.085 kilogram membawa pulangan lumayan RM7,000 kepada seorang pesara tentera selepas muncul juara Selangor Surfcasting Challenge 2026 di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, semalam.

Kamal Mohamad, 44, dari Perak menaikkan ikan tersebut pada pukul 12.06 tengah hari menggunakan umpan udang hidup sekali gus menewaskan kira-kira 300 peserta dari beberapa negeri.

Dato’ Hamid melihat pelbagai spesis ikan yang dinaikkan para peserta dalam pertandingan tersebut.

Kamal yang tidak menyangka tangkapannya membolehkan dia muncul juara menyifatkan kemenangan itu sebagai kenangan manis dan meraikannya bersama rakan-rakan serta ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.

Sepanjang pertandingan, hampir 300 ekor ikan berjaya dinaikkan membabitkan pelbagai spesies antaranya talang, duri, gelama, malong, tetanda, yu, daun baru, semilang, senangin, ketuka dan kurau.

Tempat kedua menjadi milik Zulkeflee Abd Aziz, 48, dari Selangor yang membawa pulang RM1,000 selepas menaikkan ikan duri seberat 600 gram, manakala Ramat, 45, juga dari Selangor meraih RM500 menerusi ikan gelama seberat 540 gram.

Meskipun hujan, keadaan itu tidak mematahkan semangat peserta yang datang dari Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor untuk menguji kemahiran masing-masing.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Dato’ Haji Abd. Hamid Hussain berkata, sambutan tersebut membuktikan Tanjung Harapan semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti pemancing dan berpotensi diperkukuhkan sebagai antara hab memancing serta produk pelancongan di Selangor.

Menurutnya, beliau berpuas hati dengan sambutan terhadap penganjuran kali kedua pertandingan tersebut terutama apabila ia berjaya menarik penyertaan pemancing dari luar Selangor.

MERIAH – Sebahagian peserta tetap bersemangat memancing meskipun dalam keadaan hujan pada Selangor Surfcasting Challenge 2026 di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

“Penganjuran kali kedua ini menunjukkan jenama Selangor Surfcasting Challenge semakin mendapat tempat di hati para pemancing.

“Kehadiran kira-kira 300 peserta dari beberapa negeri juga membuktikan pertandingan ini mempunyai potensi untuk berkembang dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Abd. Hamid berkata, kedudukan Tanjung Harapan yang tidak jauh dari Kuala Lumpur dan Shah Alam memberi kelebihan untuk kawasan berkenaan terus dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, memancing dan rekreasi keluarga.

Katanya, jumlah pengunjung ke Tanjung Harapan juga semakin meningkat pada setiap minggu dengan orang ramai bukan sahaja datang untuk memancing, malah beriadah bersama keluarga sambil menikmati pemandangan pesisir.

“Di sini pengunjung boleh melihat sendiri kapal-kapal kargo besar yang melalui perairan Pelabuhan Klang. Itu antara keunikan yang mungkin tidak terdapat di banyak kawasan rekreasi lain.

“Kita mahu Tanjung Harapan menjadi destinasi yang hidup dengan pelbagai aktiviti secara berkekalan dan berterusan, khususnya pada setiap hujung minggu,” katanya.

Selain pemandangan pesisir, Tanjung Harapan turut mempunyai mercu tanda berkonsepkan perahu tradisional Bugis yang menjadi antara ikon kawasan berkenaan dan tarikan pengunjung.

Menurut Abd. Hamid, MBDK juga akan memberi perhatian kepada usaha meningkatkan kemudahan termasuk aspek pencahayaan bagi menjadikan kawasan tersebut lebih selesa dan selamat dikunjungi pada waktu malam.

Pada masa sama, katanya, terdapat perancangan untuk mengetengahkan kawasan penempatan Orang Asli berhampiran sebagai antara tarikan pelancongan setempat yang boleh melengkapi pembangunan produk pelancongan di sekitar Tanjung Harapan.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran kali kedua Selangor Surfcasting Challenge memberi keyakinan supaya pertandingan itu diteruskan tahun depan dan seterusnya berpotensi berkembang sebagai antara acara atau sirkit memancing yang dinanti-nantikan kaki pancing.

“Kita juga berharap pengunjung menjaga kebersihan, keselamatan dan kemudahan yang disediakan. Apa sahaja yang dinaik taraf oleh pihak majlis termasuk pencahayaan perlu dijaga bersama.

“Elakkan melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan kawasan ini. Kita mahu keindahan Tanjung Harapan terus terpelihara untuk dinikmati semua,” katanya.

About The Author