AMIRAH MAHU TERUS KONSISTEN DI A’ FAMOSA

0
21

MELAKA, 7 Sept – Selepas muncul juara keseluruhan kategori perempuan pada Pusingan Pertama, pemain golf remaja Amirah Nur Hanania Afanizam enggan menjadikan kejayaan tersebut sebagai tekanan apabila kembali turun beraksi pada pusingan 2 Kejohanan Golf 100PLUS Malaysian Golf Association (MGA) National Junior Development Programme (NJDP) 2026 di Kelab Golf A’ Famosa, Melaka, bermula 8 hingga 10 September ini.

Amirah tampil dengan keyakinan selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Pusingan Pertama di Kelab Golf Kinrara, Puchong sebelum ini, apabila mengumpul keseluruhan 225 pukulan, 12 di atas par untuk muncul juara Perempuan B serta juara keseluruhan kategori perempuan.

Pencapaian itu menjadi satu permulaan positif buat Amirah, namun beliau tidak mahu terlalu memikirkan kejayaan lalu.

Sebaliknya, Amirah memilih untuk memberi tumpuan kepada permainannya dan mahu turun beraksi dengan lebih tenang tanpa meletakkan sasaran yang boleh mengundang tekanan.

“Saya akan cuba sebaik mungkin dan saya tidak akan meletakkan tekanan pada diri saya sendiri nanti,” katanya.

Amirah turut mempunyai pengalaman beraksi di Kelab Golf A’ Famosa sebelum ini dan mengakui lapangan tersebut mempunyai cabaran tersendiri.

“Saya pernah main di sana. Lapangan di sana ada yang pendek dan panjang dan green speed di sana laju,” katanya lagi.

Kejohanan ini menawarkan tiga pusingan yang mana pusingan pertama telah berlangsung di Kelab Golf Kinrara, Puchong.

Pusingan Kedua dijadual berlangsung di Kelab Golf A Famosa, Melaka manakala Kelab Golf Permai Pura Sungai Petani, Kedah menjadi venue bagi Pusingan Ketiga dan Pusingan Akhir berlangsung di Kelab Golf The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada 27 hingga 30 Oktober nanti.

Kejohanan Golf 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) menjadi platform buat 30 pemain yang menunjukkan prestasi dan keputusan cemerlang untuk terpilih ke Kejohanan Terbuka Antarabangsa Remaja Malaysia (Malaysia Junior International Open) yang akan berlangsung pada November depan.

 

About The Author