AMELIA LEE UNGGULI KATEGORI WANITA, DUA PEMAIN KONGSI KEDUDUKAN PENDAHULU KATEGORI LELAKI

0
20

MELAKA, 8 Sept – Amelia Lee membuka saingan Pusingan 2 Kejohanan Golf 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) 2026 dengan langkah positif apabila muncul pendahulu pada hari pertama kategori perempuan keseluruhan selepas tamat aksi pusingan pertama di Kelab Golf A’ Famosa, Melaka hari ini.

Amelia mencatat 71 pukulan, satu di bawah par (-1), untuk berada di kedudukan teratas, mengatasi juara keseluruhan kategori wanita Pusingan Pertama, Amirah Nur Hanania Afanizam yang berada di tempat kedua dengan catatan par 72 pukulan.

Mengulas mengenai permainannya, Amelia menyifatkan pusingan pertama sebagai satu permulaan yang baik namun terlepas peluang untuk mencatat lebih banyak birdie.

“Saya rasa hari ini bagus. Pukulan driver saya juga baik dan mendapat beberapa putting yang bagus. Saya boleh melakukan banyak birdie, tetapi secara keseluruhannya saya amat puas hati,” katanya.

Beliau turut menyedari persaingan dengan Amirah masih terbuka luas dan kedua-duanya bersedia untuk bersaing secara sihat.

“Amirah dan saya merupakan kawan baik, tetapi saya fikir kami berdua boleh bersaing dan melihat siapa yang dapat bermain dengan lebih baik,” katanya lagi.

Dalam saingan kategori lelaki, Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry dan Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin berkongsi kedudukan pendahulu selepas tamat saingan hari pertama apabila masing-masing mencatat 73 pukulan, satu di atas par (+1).

Syakir yang merekodkan 36 pukulan pada sembilan lubang pertama sebelum menamatkan pusingannya dengan 37 pukulan di sembilan lubang terakhir mengakui masih terdapat ruang untuk memperbaiki gaya permainannya, terutama di green.

“Saya yakin boleh bermain dengan lebih baik. Saya harap dapat memperbaiki permainan dan berharap esok saya boleh mencatat lebih banyak birdie dan bermain dengan lebih baik lagi,” katanya.

Tambahnya, keadaan lapangan menjadi antara cabaran utama pada hari pertama apabila fairway yang keras dan green yang pantas memerlukan pemain lebih berhati-hati dalam melakukan pukulan bagi memastikan bola berada di kedudukan yang baik.

“Kesukarannya ialah untuk menguasai fairway dan green kerana ia agak keras dan green hari ini agak laju,” katanya.

Sementara itu, Eiqbal turut berpuas hati dengan prestasinya kerana kebanyakan pukulan berada tepat seperti yang dirancangkan, namun mengakui putting masih perlu diperbaiki.

“Pada hari ini permainan saya baik. Setiap pukulan mengikut perancangan, cuma kelemahan saya adalah ketika melakukan putting kerana banyak tersasar,” katanya.

Eiqbal turut melihat kedudukan pin yang banyak diletakkan di kawasan cerun sebagai cabaran utama di A’ Famosa dan dia mahu kekal tenang menghadapi pusingan seterusnya.

Keputusan Hari Pertama (Lelaki Keseluruhan)

Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry – 73 (+1)

Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin – 73 (+1)

Jarvis Liew Zun Xin – 75 (+3)

Khaleed Ikhwan Azim Dato’ Mohd Nafidz – 76 (+4)

Muhammad Farish Abdullah – 76 (+4)

Perempuan Keseluruhan

Amelia Lee – 71 (-1)

Amirah Nur Hanania Afanizam – 72 (Par)

Choi Quinn-Cie – 73 (+1)

Raissa Ahmad Zuhaili – 74 (+2)

Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam – 77 (+5)

About The Author