AMELIA TERUS UNGGUL, JARVIS MULA CURI TUMPUAN

0
23

MELAKA, 9 Sept – Amelia Lee semakin hampir untuk melakar kejayaan pada kejohanan golf 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) 2026 Pusingan Kedua selepas mengekalkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kategori perempuan pada hari kedua saingan yang berlangsung di Kelab Golf A’ Famosa, Melaka.

Beliau tampil lebih konsisten pada pusingan kedua apabila mencatat 69 pukulan, tiga bawah par untuk mengumpul 140 pukulan, empat bawah par selepas tamat dua pusingan.

Jelas Amelia, beliau memperbaiki gaya permainannya berbanding hari pertama, khususnya dalam aspek putting untuk mencipta lebih banyak birdie sepanjang permainan.

“Hari ini lebih baik berbanding semalam. Putting saya bagus dan pukulan juga baik, malah saya mendapat banyak peluang untuk melakukan birdie,” kata Amelia.

“Saya rasa cuaca hari ini sangat baik dan saya harap keadaan yang sama berterusan esok,” tambahnya lagi.

Memasuki pusingan terakhir esok, Amelia mengakui keyakinannya semakin meningkat untuk memburu gelaran, namun enggan terlalu memikirkan kelebihan yang dimiliki ketika ini.

“Saya rasa saya boleh melakukannya dan yakin saya mampu merealisasikannya esok,” katanya yang menyifatkan kunci utama pada pusingan terakhir adalah keupayaan meletakkan bola di atas green, mencipta peluang birdie dan harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Catatan itu memberikannya kelebihan empat pukulan ke atas Choi Quinn-Cie yang turut cemerlang untuk memperbaiki kedudukan sekali gus berada di tempat kedua dengan catatan keseluruhan par 144 pukulan.

Dalam kategori lelaki pula, Jarvis Liew Zun Xin muncul pemain paling menyerlah pada hari kedua selepas melakukan kebangkitan luar biasa dengan catatan 66 pukulan, enam dibawah par.

Selepas membuka saingan dengan 75 pukulan pada hari pertama, Jarvis melonjak ke kedudukan teratas dengan 141 pukulan, tiga bawah par, meninggalkan Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry di tempat kedua yang mengumpul 150 pukulan eam di atas par.

Jarvis mengakui perubahan dari segi teknik ayunan dan pendekatan mental menjadi antara faktor utama yang membantu meningkatkan prestasinya, terutama selepas merasakan permainan hari pertama kurang kemas.

“Dari segi mental, saya cuba untuk lebih yakin dengan setiap pukulan. Saya hanya mencuba untuk menjadi lebih baik berbanding semalam.

“Pada masa sama, dalam golf apa sahaja boleh berlaku, jadi saya cuba untuk kekal gembira dan positif sepanjang permainan,” katanya.

Walaupun memiliki kelebihan sembilan pukulan selepas dua pusingan, Jarvis tidak mahu terlalu yakin dan menganggap saingan masih belum berakhir selagi 18 lubang terakhir belum diselesaikan.

“Keyakinan saya memang meningkat, tetapi saya tidak boleh terlalu yakin atau mendabik dada. Saya perlu kekal konsisten,” katanya.

Keputusan Hari Kedua (Kategori Lelaki Keseluruhan)

Jarvis Liew Zun Xin – 141 (-3)

Raja Muhammad Syakir Raja Mohd Sukry – 150 (+6)

Muhamad Eiqbal Aisy Mohd Elauddin – 151 (+7)

Khaleed Ikhwan Azim Dato’ Mohd Nafidz – 153 (+9)

Mohammad Fahrain Fadzilisham – 153 (+9)

Kategori Perempuan Keseluruhan

Amelia Lee – 140 (-4)

Choi Quinn-Cie – 144 (Par)

Vikasni Laakshitaa Bala Subramaniam – 152 (+8)

Raissa Ahmad Zuhaili – 152 (+8)

Amirah Nur Hanania Afanizam – 152 (+8)

About The Author