GOMBAK, 26 Nov. 2026 – Seramai 25 penduduk Taman Harmonis Sentosa di sini berpeluang menjana pendapatan sampingan selepas mempelajari cara memproses cendawan tiram kelabu yang ditanam sendiri menjadi produk bernilai tambah.

Menerusi Kursus Hasilan Cendawan Tiram Kelabu yang berlangsung semalam, peserta berjaya menghasilkan tiga produk iaitu serbuk cendawan, keropok lekor cendawan dan serunding cendawan.

Pegawai Pertanian Kanan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mahani Amat berkata, kemahiran pemprosesan itu dapat membantu penduduk mengurus lebihan hasil tuaian segar dan meningkatkan margin keuntungan.

“Melalui modul keempat di bawah inisiatif Sejati Madani@KPT ini, kita mahu komuniti tidak hanya bergantung kepada penjualan cendawan segar semata-mata.

“Apabila mereka menguasai kemahiran pemprosesan seperti menghasilkan serbuk perasa, keropok lekor, dan serunding cendawan, jangka hayat produk menjadi lebih panjang dan nilai pasarannya jauh lebih tinggi,” katanya.

Kursus anjuran UCTC UPM itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Gombak/Petaling dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi inisiatif Program Sejati Madani@KPT.

Dalam sesi teori dan amali, penceramah jemputan, Meriam Ishak membimbing peserta menggunakan hasil tuaian sendiri sebagai bahan mentah.

Selain menghasilkan tiga produk utama itu, peserta turut mempelajari cara menyediakan pekasam cendawan.

Kursus berkenaan merupakan modul keempat dan pelengkap kepada Program Penanaman Cendawan Tiram Kelabu yang dilaksanakan bersama komuniti setempat sejak 2025.

Dalam modul terdahulu, peserta mempelajari teknik penanaman dan pengurusan cendawan tiram kelabu di rumah.

Mereka turut dibimbing memanfaatkan sisa bongkah cendawan untuk menghasilkan kompos bagi mengurangkan sisa pertanian.

Menurut Mahani, kesinambungan latihan sejak 2025 mencerminkan komitmen UPM dan agensi rakan kerjasama untuk memastikan ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan bagi menjana pendapatan isi rumah.

Program itu diharap membuka peluang kepada peserta untuk memasarkan produk cendawan tiram kelabu secara lebih meluas, sekali gus menyokong usaha memperkukuh ekonomi komuniti dan keterjaminan makanan.

About The Author