Home Blog Page 2

100PLUS, MSN, YAKEB SANTUNI BEKAS ATLET NEGARA SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA

0

KUALA LUMPUR, 14 Feb – 100PLUS, dengan kerjasama Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), telah menganjurkan program ziarah kasih bekas atlet negara sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina 2026.

Program yang memasuki tahun ketiga itu diadakan di sekitar Lembah Klang dengan tujuan menyampaikan sumbangan serta ‘ang pow’ kepada tujuh bekas atlet yang pernah mengharumkan nama Malaysia di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Program ini dihadiri Pengurus Pengurusan Acara dan Penajaan F&N, Muhd Fauzi Ahmad, Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Tujuh bekas atlet yang menerima sumbangan tersebut adalah Sunny Leong (bola keranjang & tenpin boling), Ringo Wang Chee Ming (tenpin boling), Cheok Kon Fatt (para powerlifting), Bah Chui Mei (boling padang), Tan Tai Fatt (ragbi), Ng Mun Keai (bolasepak) dan Fong Chein Wai (karate).

Kerjasama strategik bersama rakan korporat antara 100PLUS, MSN dan YAKEB nyata penting bagi memastikan kebajikan atlet sentiasa terbela dan ia merupakan satu usaha murni yang mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat Malaysia.

Program ini juga selari dengan semangat Tahun Baru Cina yang menekankan nilai kekeluargaan, kesejahteraan dan penghargaan terhadap bekas atlet negara.

 

TIJARAH SUITE, EARL CLAYTONT TAWAR PELUANG NIAGA DAN KESIHATAN BERTERASKAN EMAS

0
Barisan kenamaan dari kanan; Saiful Apek, Mohd Naszri, Claytont dan Faez Hakimi menunjukkan kad emas sempena majlis MoU Tijarah Suite dan Earl Claytont di Subang.

SUBANG, 5 Jan – Kolaborasi antara Tijarah Suite dan Earl Claytont Wellness Centre (Earl Claytont) membuka lembaran baharu dalam dunia keusahawanan dan kesihatan menerusi konsep unik ‘Health and Wealth’ – gabungan penjagaan kesihatan dan simpanan emas sebagai aset jangka panjang.

Konsep ini bukan sahaja menawarkan rawatan kesihatan holistik, malah memberi peluang kepada pelanggan dan rakan artis untuk membina simpanan emas secara sistematik, sekali gus memperkukuh kestabilan kewangan masa depan.

Pelakon dan pengacara terkenal, Muhammad Saifulazam Mohamed Yusoff atau Saiful Apek mengakui tertarik dengan konsep yang diperkenalkan itu kerana ia menggabungkan dua elemen penting dalam kehidupan moden – kesihatan dan kewangan.

“Saya nampak peluang niaga ini sangat menarik. Sambil jaga kesihatan, kita boleh bina simpanan emas. Ini satu cara bijak untuk masa depan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik kedua-dua syarikat itu di Subang pada Khamis.

Turut hadir Pengasas Tijarah Suite, Dr. Mohd Naszri Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Earl Claytont, Datuk Earl Claytont Chia dan Pengarah Operasi Earl Claytont, Faez Hakimi Zaharim.

Menurut Saiful Apek pendekatan yang dibawa oleh Tijarah Suite berbeza daripada konsep perniagaan biasa kerana ia bukan sekadar menjual produk, sebaliknya memberi pendidikan kewangan dan kesedaran tentang kepentingan simpanan aset.

“Mereka bukan sekadar jual pakej, tetapi mendidik tentang emas, pelaburan dan peluang niaga. Itu yang buat saya yakin,” jelasnya.

Saiful Apek yang juga Pengasas bersama Tijarah Suite turut melihat konsep ini sebagai peluang strategik untuk golongan artis yang sering berdepan ketidaktentuan pendapatan.

“Bagi artis, simpanan aset sangat penting. Dengan konsep ini, kita boleh mula bina aset sejak awal, bukan tunggu bila sudah susah.

“Kalau mula simpan emas dari sekarang, suatu hari nanti ia boleh jadi modal bisnes, beli rumah atau persediaan masa depan,” tambahnya.

Sementara itu, Faez Hakimi menjelaskan bahawa pelanggan yang membeli pakej rawatan layak menerima emas melalui Tijarah Suite sebagai sebahagian daripada konsep ‘Health and Wealth’.

“Pelanggan bukan sahaja menjaga kesihatan, tetapi juga membina simpanan emas yang nilainya meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah beliau, pakej rawatan ditawarkan bermula serendah RM250 dengan pendekatan perubatan yang sistematik.

“Setiap pelanggan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum rawatan. Selepas itu, barulah mereka layak menerima emas,” jelasnya.

Dalam perkembagan sama, Dr. Mohd Naszri menegaskan bahawa kolaborasi ini turut membawa misi pendidikan kewangan kepada masyarakat.

“Emas adalah simpanan nilai. Hari ini mungkin satu gram, tetapi nilainya boleh meningkat. Pelanggan juga boleh menjual semula emas apabila diperlukan,” katanya.

Tijarah Suite turut memperkenalkan pendidikan simpanan emas sejak usia muda.

“Jika seseorang membeli emas kecil setiap bulan, walaupun satu gram, mereka sebenarnya sedang membina aset yang stabil dan selamat,” ujar Dr. Mohd Naszri.

Malah beliau turut memberi contoh kepada golongan pelajar lepasan universiti.

“Jika mereka membeli satu gram emas setiap bulan selama lima tahun, mereka boleh mengumpul 60 gram. Dalam tempoh tertentu, emas itu boleh digadai sebagai modal besar, contohnya untuk membeli rumah,” katanya.

EDY SAMSUL UNGGULI CABARAN JORAN KUALA LUMPUR 2026

0

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Edy Samsul Ghazali, 35, dari Kajang muncul juara edisi pertama Cabaran Joran Kuala Lumpur 2025 selepas menaikkan ikan patin seberat 14.620 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dalam pertandingan yang berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur semalam.

Pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 dan ia berjaya menarik lebih 600 penyertaan dari seluruh negara.

Tempat kedua dimenangi Muhammad Faris Mohd Rokman, 21, dari Cheras, Kuala Lumpur dengan tangkapan patin seberat 13.230 kilogram, sekali gus memenangi wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga menjadi milik Mohammad Ansarullah Abdul Aziz, 31, dari Keramat, Kuala Lumpur yang menaikkan patin seberat 12.685 kilogram untukmembolehkannya membawapulang RM1,000.

Spesies ikan patin mendominasi kedudukan 19 teratas pertandingan, manakala spesies keli hanya mampu berada di tempat ke-13 dengan berat 9.325 kilogram.

Acara ini turut menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk kecintaan terhadap alam sekitar dan mempererat hubungan dalam kalangan warga kota.

Penyertaan dari negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Selangor turut menyerikan suasana, membuktikan sokongan kuat terhadap acara berprestij ini.

Cabaran Joran ini berperanan sebagai medium perpaduan komuniti bandar melalui aktiviti riadah sihat dan inklusif.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran DBKL, Khairulrizal Che Johari.

Siri Cabaran Joran ini akan diteruskan pada 3 Mei nanti di Taman Tasik Ampang Hilir diikuit di Taman Tasik Metropolitan Kepong (31 Ogos) dan di Taman Tasik Danau Kota sempena Hari Sukan Negara 2026 nanti.

Dengan sambutan hangat dan penyertaan yang memberangsangkan, Cabaran Joran Kuala Lumpur dijangka terus menjadi acara tahunan.

 

CHOON SEONG, SYABIL AZAM DINOBAT OLAHRAGAWAN SUKAN PEKAK NEGARA 2025

0

BUKIT JALIL, 29 Jan – Atlet boling tenpin negara, Ho Choon Seong dan Syabil Azam Syamsul Azam, dinobatkan sebagai Olahragawan Sukan Pekak Negara 2025 pada majlis Anugerah Sukan Pekak Negara (ASPN) kali Ke-2, yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) pagi ini.

Kedua-dua atlet yang mencipta kejayaan cemerlang dengan memenangi pingat emas acara beregu lelaki pada temasya Deaflympics Tokyo, merasa terharu apabila menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

“Ia benar-benar satu kejutan. Kami langsung tidak menjangkakan untuk memenangi anugerah ini,” kata Choon Seong.

Syabil Azam pula berkata: “Kemenangan ini akan menjadi pembakar semangat untuk kami terus meningkatkan prestasi dalam kejohanan akan datang.”

Syabil yang merupakan atlet muda pekak negara menjadikan kejayaan di Deaflympics Tokyo sebagai dorongan utama, manakala Choon Seong pula merupakan atlet berpengalaman luas dalam arena tenpin boling pekak.

Pada Sukan SEA Pekak Ke-2 (SEADeaf) di Jakarta, Indonesia Ogos lalu, Choon Seong mempamerkan dominasi luar biasa apabila meraih empat pingat emas menerusi acara Beregu, Trio, All-Event dan Masters, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet pekak terbaik negara.

Sementara itu, tenpin boling mendominasi Anugerah Sukan Pekak Negara apabila atlet pekak wanita turut merangkul Anugerah Olahragawati Sukan Pekak Negara 2025.

Huwainaa Danduan Abdullah dan Nor Misha Nathera Mackery diberi pengiktirafan hasil kejayaan memenangi pingat perak acara beregu wanita di Deaflympics Tokyo.

“Kami amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Ia pasti akan mendorong kami untuk bekerja lebih keras dan meningkatkan prestasi,” kata Huwainaa.

SENARAI PEMENANG

ANUGERAH SUKAN PEKAK NEGARA KALI KE-2 2025

1. OLahragawan Sukan Pekak Negara 2025:

Ho Choon Seong (Boling Tenpin)
Deaflympics Tokyo
* Beregu Lelaki – Emas

Sukan SEA Pekak Jakarta
* Individu Lelaki – Perak
* Beregu Lelaki – Emas
* Trio Lelaki – Emas
* All-Event Lelaki – Emas
* Masters Lelaki – Emas

B. Syabil Azam bin Syamsul Azam (Boling Tenpin)
Deaflympics Tokyo
* Beregu Lelaki – Emas

OLahragawati Sukan Pekak Negara 2025

A. Huwainaa Danduan Abdullah (Boling Tenpin)
Deaflympics Tokyo
* Beregu Wanita – Perak

Sukan SEA Pekak Jakarta
* Beregu Wanita – Gangsa
* Trio Wanita – Emas

B. Nor Misha Nathera Mackery (Boling Tenpin)
Deaflympics Tokyo
* Beregu Wanita – Perak

Sukan SEA Pekak Jakarta
* Trio Wanita – Perak

3. Anugerah Kepimpinan
* Soo Kok Heng
(Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Sabah)

4. Anugerah Tokoh Sukan
* Mohamad Sazali Sha’ari
(Penasihat Persekutuan Orang Pekak)

5. Anugerah Jurulatih Kebangsaan
* Kheng Tay Teck
(Jurulatih Boling Tenpin)

6. Anugerah Khas
* YB Dato’ Seri Fatimah Abdullah
(Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Negeri Sarawak)

* YB Puan Hannah Yeoh
(Menteri Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri)

* Allahyarham Datuk Naim Mohamad
(Mantan Penasihat MSDeaf)

* Mr. Isao Hayashi
(Datuk Bandar Miyoshi Town, Jepun)

7. Anugerah Atlet Harapan Sukan Pekak (Lelaki)
* Edmund Teo Seng Keong (Badminton)

8. Anugerah Atlet Harapan Sukan Pekak (Wanita)
* Nur Andrina binti Zainuddin (Olahraga)

INTAC26 PACU PERDAGANGAN, SENI DAN PELANCONGAN GLOBAL SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA

0

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Program Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Global (INTAC) 2026 bakal menjadi antara acara berprestij sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) apabila ia dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 10 hingga 12 Julai depan.

Dianjurkan oleh WEX Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia, INTAC 2026 membawa tema ‘Bridging Cultures, Inspiring Trade’ yang mencerminkan peranan strategik pelancongan, seni dan budaya sebagai pemangkin perdagangan serta hubungan antarabangsa.

Acara bertaraf antarabangsa itu dijangka menghimpunkan lebih 400 pempamer, penyertaan dari kira-kira 50 negara serta menarik kehadiran hampir 50,000 pengunjung tempatan dan luar negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab pertukaran budaya dan industri kreatif global.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, INTAC 2026 sejajar dengan aspirasi VM2026 dan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan keterangkuman, kelestarian serta kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, platform seperti INTAC bukan sahaja mempromosikan destinasi pelancongan, malah membuka ruang kolaborasi strategik antara kerajaan, pemain industri dan komuniti kreatif antarabangsa.

“INTAC 2026 mencerminkan kesungguhan industri dan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dunia yang berteraskan budaya, kreativiti dan nilai ekonomi mampan,” katanya ketika berucap sempena majlis prapelancaran dan sidang media INTAC di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif WEX Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Leena Al-Mujahed.

Choon Man turut menggalakkan penyertaan aktif pemain industri pelancongan, hospitaliti, seni, budaya dan pelabur antarabangsa bagi memanfaatkan peluang rangkaian perniagaan, pendedahan jenama serta kerjasama jangka panjang yang ditawarkan sepanjang penganjuran acara itu.

Dalam pada itu, Dr. Leena berkata, kejayaan INTAC 2024 yang merekodkan kehadiran lebih 35,000 pengunjung serta nilai jualan dan kontrak sekitar RM7.5 juta menjadi asas kukuh untuk penganjuran edisi 2026 yang lebih besar dan berimpak tinggi.

“INTAC diasaskan atas kepercayaan bahawa pelancongan, seni dan budaya bukan sekadar industri, tetapi jambatan yang menghubungkan manusia, idea dan ekonomi merentas sempadan,” katanya sambil memberitahu komitmen pihak penganjur untuk membina platform yang inklusif dan bernilai jangka panjang.

Beliau menjelaskan, INTAC 2026 akan memberi tumpuan kepada padanan perniagaan yang lebih mendalam, penyertaan antarabangsa yang lebih meluas serta pameran budaya yang dipertingkatkan bagi mencerminkan kepelbagaian warisan serantau dan global.

“INTAC 2026 bukan hanya tentang skala, angka atau pameran. Ia adalah tentang mencipta nilai jangka panjang. Ia adalah tentang memupuk hubungan antara kerajaan dan perniagaan, antara pencipta dan pelabur, antara budaya dan pasaran.

“Ia adalah tentang membentuk ekosistem di mana inovasi, kreativiti, dan perdagangan berkembang bersama,” katanya.

Sepanjang tiga hari penganjuran, INTAC 2026 akan menampilkan pelbagai acara berimpak tinggi termasuk pameran seni tempatan dan antarabangsa, persidangan pelancongan, peragaan fesyen, majlis Gala INTAC, lelongan artifak Islam serta program larian santai yang melibatkan komuniti.

CABARAN JORAN KL 2026 WARNAI SAMBUTAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN AHAD INI

0

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 bakal diserikan dengan penganjuran Cabaran Joran KL 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dojadualkan berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Ahad ini.

Menurut Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, acara pembuka tirai ini merupakan inisiatif berimpak tinggi dalam merakyatkan aktiviti rekreasi dan memperkukuh semangat komuniti warga kota.

“Cabaran ini bukan sekadar sukan rekreasi, malah ia menjadi platform penyatuan komuniti pelbagai lapisan. DBKL komited menganjurkan acara-acara berkualiti buat semua,” katanya.

Sebagai persediaan, hampir 200 kilogram ikan baung telah dilepaskan ke dalam tasik bagi memastikan pertandingan lebih mencabar.

Penyertaan adalah terbuka dengan yuran sebanyak RM60 untuk dua joran. Pendaftaran secara walk-in akan mula dibuka pada 31 Januari (Sabtu) dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam serta pada pagi pertandingan dari jam 6.00 hingga 10.00 pagi.

Menariknya, hadiah wang tunai bernilai RM20,000 ditawarkan, termasuk RM5,000 untuk juara, diikuti RM2,000 dan RM1,000 masing-masing untuk tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, Karnival KL MADANI sempena turut dianjurkan padai 30 Januari hingga 1 Februari di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,.

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Jualan Rahmah, Pameran Agensi, Karnival Kerjaya, Sukan Rakyat, Forum KL MADANI, Festival Gastroseni, Kenduri Rakyat dan Konsert KL MADANI.

 

ZAKIR DINOBAT JUARA SURFCASTING 2025, BAWA PULANG RM10,000

0

PORT DICKSON, 29 Dis – Muhammad Zakir Arif Bin Rahim, 28, dari Kajang mencipta kejutan apabila muncul juara Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 selepas menaikkan ikan Geruk seberat 1.2 kilogram di laut berhampiran Pengkalan Sungai Sekawang, semalam.

Beliau yang bekerja sendiri menggunakan umpan cacing merah, membawa pulang wang tunai RM10,000, menewaskan lebih 500 pemancing dari seluruh negara yang menyertai pertandingan tahunan tersebut.

“Saya tak sangka boleh menang. Ini rezeki hujung tahun untuk keluarga,” katanya selepas menerima hadiah yang disampaikan oleh YB Datuk Hj. Mohd Faizal Ramli, ADUN Linggi merangkap Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Sobri Bin Sahda dari Petaling Jaya dengan tangkapan semilang seberat 0.695 kilogram dan menerima RM3,000, manakala tempat ketiga milik Mispan Bin Zaidin, 67, dari Banting dengan ikan duri seberat 0.664 kilogram dan membawa pulang RM1,000.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Linggi bersama Nadi Media Events, dengan kerjasama JPKK Sungai Sekawang serta sokongan Tourism Malaysia, sebagai usaha menyokong promosi agro pelancongan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Lebih 200 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang acara, antaranya duri, gelama, semilang, belukang, tetanda, tetuka, malong, daun baru, serkut, yu cicak dan buntal.

Penduduk kampung turut mengambil peluang menjana pendapatan melalui jualan makanan dan minuman, menjadikan pertandingan ini sebagai acara komuniti berimpak tinggi yang mampu menjadi produk pelancongan tahunan negeri.

Penganjur memaklumkan bahawa kejayaan penganjuran tahun ini akan menjadi pemangkin untuk meneruskan acara ini pada skala lebih besar tahun hadapan, seiring usaha menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

SAFEE MAHU ANJUR KEJOHANAN AKAR UMBI ANTARABANGSA

0

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali tidak mahu ‘duduk diam’ bagi membangunkan bakat cilik apabila memasang impian untuk menganjurkan pertandingan akar umbi di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Idea tersebut tercetus susulan sambutan amat menggalakkan dalam saingan MommyHana Safee Sali Super Kids Cup 2025 di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana pada Sabtu.

“Sambutan pada kejohanan ini memberi lebih semangat buat saya untuk terus terbabit dengan pogrampogram akar umbi dan saya akan terus mencurahkan pengalaman saya untuk mempekasakan pembentukan pemain-pemain muda berkualiti.

“Insya-Allah mungkin selepas ini akan ada perancangan mengadakan perancangan lebih besar, mungkin akan ada saingan Antarabangsa Safee Sali Super Kids Cup,” katanya ketika ditemui media sempena majlis pelancaran MommyHana Safee Sali Super Kids Cup 2025.

Sebanyak 32 pasukan berasaing dalam kejohanan berbentuk karnival ini yang membabitkan lapan pasukan berentap dalam kategori bawah lapan, 10, 12 dan 14 tahun untuk edisi kali ini yang menawarkan jumlah hadiah kemenangan sebanyak RM5,200.

Di sebalik cadangan penganjuran kejohanan lebih besar, Safee berharap agar lebih banyak sektor korporat dan agensi kerajaan tampil memberikan sokongan terhadap penganjuran kejohanan akar umbi pada masa hadapan.

“Saya harap ada bantuan dan sokongan sepenuhnya daripada syarikat-syarikat lain dan sektor swasta untuk memperkasakan sistem akar umbi bola sepak kita. Selepas ini, sudah tentu saya ada mungkin ada kerjasama dengan pasukan-pasukan negara ASEAN yang lain untuk bermain di sini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MommyHana selaku penaja utama kejohanan serta MPAJ atas sokongan padu dalam memastikan kelancaran penganjuran acara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MommyHana sebagai penaja yang percaya kepada pembangunan bola sepak akar umbi, serta MPAJ yang sentiasa memberi sokongan dari segi fasiliti dan kerjasama,” tambahnya.

MommyHana Safee Sali Super Kids Cup 2025 menghimpunkan pasukan-pasukan akademi dan kelab bola sepak kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur, selain kemeriahan suasana karnival dan aktiviti mesra keluarga.

PICKLEBALL DIPERTANDINGKAN PADA KIDSLYMPIC 2026

0

KUALA LUMPUR 23 Dis – Sukan yang kian meningkat naik, pickleball secara rasmi diperkenalkan sebagai acara baharu pada temasya Kidslympic 2026.

Pengasas Bersama Kidslympic, Goh Liu Ying berkata, menerusi kerjasama dengan syarikat ekosistem Pickleball, Sports Empire Sdn Bhd, langkah itu akan mengukuhkan lagi misi Kidslympic untuk membina ekosistem sukan belia pelbagai disiplin terbesar di Malaysia.

“Pengenalan pickleball melalui kerjasama ini bukan sahaja menambah satu lagi acara sukan tetapi membuka ruang kepada sukan yang inklusif, menyeronokkan dan mudah diakses oleh kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang.

“Kidslympics merupakan platform yang bukan sekadar menganjurkan kejohanan tetapi membina ekosistem pembangunan sukan belia yang menyeluruh,” katanya pada majlis pelancaran pickleball sebagai sukan baharu untuk Kidslympic 2026 di Bukit Jalil pada Ahad.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu turut disaksikan oleh pemegang taruh utama komuniti pickleball, termasuk Presiden Persatuan Pickleball Selangor, Roger Lim.

Liu Ying menjelaskan bahawa menerusi kepakaran dan pengalaman sebagai pemain serta pengadil pickleball, beliau optimis kerjasama ini akan melahirkan lebih banyak peluang, bakat baharu dan minat berterusan dalam kalangan generasi muda.

“Ketika ini, semakin ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk aktif bersukan kerana sukan merupakan medium yang sangat baik dalam membentuk kekuatan mental dan fizikal. Pickleball pula adalah sukan yang mudah dipelajari dan sesuai sebagai aktiviti kekeluargaan.

“Bagi kanak-kanak yang berminat untuk menceburi sukan ini secara lebih serius, Kidslympic turut menyediakan platform bagi membantu mereka mendapatkan jurulatih yang sesuai sebagai persediaan ke peringkat profesional pada masa hadapan,” katanya.

Kidslympic Malaysia ialah temasya sukan pelbagai acara khusus untuk kanak-kanak, satu inisiatif nasional yang didedikasikan untuk memperkasa pembangunan sukan belia dan menggalakkan pertumbuhan holistik melalui sukan.

Sejak mula dianjurkan pada Disember tahun lalu, Kidslympic terus berkembang dengan ia menjadi platform bagi kanak-kanak Malaysia dari pelbagai latar belakang menyertai sukan kompetitif. – sk

SUKAN SEA 2027 PERLU PERANCANGAN LEBIH STRATEGIK – NURUL HUDA

0

SEPANG, 22 Dis – Pendekatan berani kontinjen Malaysia yang tidak meletakkan sasaran pingat secara tepat dianggap sebagai memberi kesan positif di Sukan SEA Thailand, namun kejayaan itu perlu diterjemahkan kepada perancangan lebih strategik menjelang Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung di tanah air.

Malaysia menamatkan temasya Sukan SEA 2025 dengan meraih 231 pingat keseluruhan, termasuk 57 pingat emas, sekali gus melepasi sasaran awal 200 pingat yang ditetapkan sebelum kejohanan bermula.

Pencapaian itu lebih bermakna apabila ia diraih dalam fasa peralihan generasi, dengan 39 peratus atlet membuat penampilan sulung, manakala 43 peratus terdiri daripada atlet muda, sekali gus memberi gambaran jelas mengenai landskap baharu sukan negara.

Ketua kontinjen negara (CDM), Nurul Huda Abdullah menyifatkan strategi tanpa tekanan angka sebagai antara faktor utama yang melonjakkan keyakinan atlet sepanjang kejohanan.

Menurut beliau, kebebasan berkenaan membolehkan atlet mencabar had keupayaan sendiri tanpa dibelenggu beban sasaran pingat semata-mata.

“Apabila atlet fokus kepada prestasi dan proses, keputusan yang hadir selalunya lebih baik daripada jangkaan,” katanya.

Bagaimanapun, Nurul Huda menegaskan bahawa pendekatan tersebut perlu diperkemaskan menjelang Sukan SEA 2027 dengan memperkenalkan sasaran prestasi berlapis, termasuk penilaian berdasarkan peningkatan rekod peribadi, konsistensi dan pencapaian skuad bagi setiap acara.

Pendekatan itu dilihat lebih realistik untuk mengukur kemajuan sebenar atlet tanpa menjejaskan aspek psikologi, terutama dalam kalangan atlet muda.

Malah, status Malaysia sebagai tuan rumah dua tahun lagi turut memerlukan perancangan yang lebih strategik agar kelebihan venue, jadual pertandingan dan sokongan penonton dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Pengurusan sukan dijangka memberi penekanan kepada acara teras yang menjadi kekuatan tradisi negara, selain menyediakan simulasi pertandingan lebih awal di venue sebenar bagi membiasakan atlet dengan persekitaran dan tekanan pertandingan.

Kejayaan atlet muda seperti Muhammad Yassin Syahrizan yang muncul atlet paling muda kontinjen negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara pelayaran, turut membuka perbincangan mengenai keperluan laluan pembangunan yang lebih jelas dan tersusun.

Program pembangunan khusus selama 24 bulan bagi atlet muda berpotensi pingat dijangka menjadi fokus, termasuk pendedahan kejohanan antarabangsa berkualiti dan sistem sokongan sains sukan yang lebih agresif.

Walaupun Malaysia menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan, Nurul Huda menegaskan pencapaian di Thailand hanyalah platform penilaian awal, bukannya kemuncak prestasi.

Setiap sukan akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan, terutama dalam memastikan atlet pelapis mampu menyumbang secara konsisten di pentas serantau.

Beliau menegaskan momentum kejayaan di Thailand perlu diteruskan dengan perancangan rapi dan berpandangan jauh agar Malaysia mampu tampil lebih bersedia sebagai tuan rumah.

“Kita sudah ada asas yang kukuh. Cabaran seterusnya ialah menstrukturkan kejayaan ini supaya ia memberi impak jangka panjang,” katanya. – sk

Latest Article

MISS BORNEO ANTARABANGSA 2026 BAWA INSPIRASI MARTABAT BUDAYA BORNEO

0
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Miss Borneo Antarabangsa 2026 bukan sekadar acara pertandingan kecantikan, sebaliknya hadir dengan aspirasi besar untuk mengangkat warisan budaya dan...