ANNUAR: PEMILIK KEDAI MAKAN DI IBU NEGARA DIBENARKAN BEROPERASI SEHINGGA 2 PAGI

0
1418

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Para pemilik premis makanan dan kedai serbaneka di ibu negara lega.

Ia ekoran keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membenarkan premis-premis berkenaan beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai esok.

Khabar gembira itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang menjelaskan bahawa keputusan tersebut adalah selari dengan pengumuman yang  dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya telah mengadakan perberbincangan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Dahlan memandangkan MKN sudah memberi kelonggaran kepada premis-premis berkenaan.

“Saya tahu para peniaga telah banyak mengalami kerugian, kalau perniagaan itu tidak mengancam keselamatan seperti yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” kata Annuar.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mengumumkan bahawa waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga pukul 2.00 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here